Ketua pembangkang Rusia ditahan

MOSCOW, 18 JAN – Polis semalam menahan ketua pembangkang Rusia, Alexei Navalny sebaik beliau kembali dari Jerman sejak beberapa bulan lalu bagi mendapatkan rawatan susulan keracunan dialaminya pada tahun lalu.

Navalny ditahan di lapangan terbang Sheremetyevo dan pihaknya tidak dimaklumkan lokasi penahanannya.

Ketika ditemui pemberita di lapangan terbang berkenaan sebelum beliau ditahan, Navalny memaklumkan langsung tidak gentar kerana tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa.

“Saya tidak takut… saya di pihak yang benar dan kesalahan jenayah itu adalah satu rekaan,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Olga Mikhailova memaklumkan beliau bukan sahaja tidak dibenarkan untuk menemani pemimpin itu, bahkan tidak diberitahu sebab penahanannya.

“Penahanan ini jelas bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa pihak termasuk Kesatuan Eropah (EU), pemimpin kanan Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan hak asasi iaitu Amnesty International (AI) turut mengecam tindakan diambil oleh pihak berkuasa Rusia terhadap Navalny.

Presiden Majlis EU, Charles Michel berkata di Twitter bahawa penahanan itu adalah satu tindakan yang tidak wajar.

“Saya menggesa pihak berkuasa Rusia supaya segera membebaskan Navalny,” katanya. Navalny kemungkinan akan dibicarakan di mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan sumbangan derma berjumlah AS$4 juta. – AFP

Alexei Navalny dan isteri Yulia berbaris di pos kawalan pasport setelah tiba di lapangan terbang Sheremetyevo, di luar Moscow, Rusia pada 17 Januari 2021. – AP