Ketua pembangkang Venezuela muncul dalam video

CARACAS, 7 JUN – Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido, dilihat muncul semula di jalanan dalam rakaman video diedarkan pasukan dan sekutu Parlimennya, semalam, selepas Menteri Luar, Jorge Arreaza mendakwa beliau berlindung di Kedutaan Perancis, di sini.

“Mereka yang sembunyi… AS$15 juta ganjaran untuk mereka. Saya menunjukkan wajah saya,” kata Guaido.

Guaido berkata demikian dalam salah satu rakaman video itu yang menunjukkan beliau memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan untuk melindungi diri daripada jangkitan COVID-19, dan berjalan menyusuri sebaris kereta sambil menegur serta bersembang dengan pemandu kenderaan berkenaan. Guaido yang juga Speaker Parlimen diiktiraf sebagai Presiden Interim Venezuela oleh 50 negara, merujuk tuduhan oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung ‘narcoterrorism’ terhadap kerajaan sosialis Nicolas Maduro.

Video berkenaan yang tidak menyatakan secara khusus mengenai tarikh atau lokasi rakaman, disiarkan selepas Arreaza pada Khamis lalu mendakwa Guaido bersembunyi di Kedutaan Perancis sambil menuntut beliau diserahkan kepada ‘pihak pengadilan Venezuela’. – AFP