MANILA, 25 NOV – Seorang ketua penjara Filipina yang dituduh mengarahkan pembunuhan seorang wartawan telah mendakwa bahawa lubang besar yang digali di tepi rumahnya di satu kompleks penjara Manila bukan terowong melepaskan diri bagi banduan tetapi untuk selam skuba.
Dianggar berukuran 60 meter dalam dan 40 lebar, lubang berkenaan ditemui di kediaman rasmi Gerald Bantag selepas dia digantung tugas sebagai Ketua Pengarah Biro Penjara.
Polis menuduh Bantag mengarahkan pembunuhan seorang penyiar radio terkenal, Percival Mabasa yang ditembak mati di kediamannya di ibu negara bulan lalu.
Dia menafikan penglibatan dalam pembunuhan itu.
Bantag, yang masih bebas sementara pihak pendakwa memutuskan sama ada terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwanya, telah mengakui kepada media setempat bahawa dia mengarahkan penggalian itu di kediamannya.

Bantag berkata dia adalah penyelam skuba dan mahu membuat ‘kolam renang paling dalam di Manila’, menurut satu temu bual yang disiarkan awal bulan ini.
Tetapi satu lagi kolam renang berukuran kira-kira 25 meter panjang telah dibina hanya beberapa meter dari lubang berkenaan.
Bantag menafikan lubang itu direka sebagai terowong melepaskan diri bagi banduan-banduan di dalam Penjara Bilibid Baharu yang sesak, yang kawasannya menempatkan bekas rumah Bantag.
Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla minggu lalu berkata bahawa Bantag telah memberitahunya yang dia sedang mencari harta karun dogeng yang dicuri dari kawasan Asia Tenggara oleh tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan dikatakan ditanam di Filipina.
“Itu dikatakan pemburuan harta karun… Saya beritahunya supaya berhenti,” Remulla berkata.
Bantag dilantik sebagai Ketua Penjara pada September 2019 oleh Presiden pada masa itu, Rodrigo Duterte. – AFP