Monday, November 11, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua penyokong bola sepak tikam anggota geng jenayah Itali

    MILAN, 5 SEPT – Pemimpin kumpulan penyokong tegar bola sepak Inter Milan kelmarin menikam mati seorang anggota kumpulan jenayah Itali dalam kejadian yang didakwa berlaku atas dasar mempertahankan diri.

    Andrea Beretta, 49, ketua penyokong ultras curva nord (bahagian utara) Inter Milan, mendakwa dia menikam rakan penyokong Inter, Antonio Bellocco, 36, selepas Bellocco menembaknya di kaki, menurut peguam dan laporan media Itali.

    Beretta akan disoal siasat di katil hospitalnya oleh pendakwa raya, kata peguamnya, Mirko Perlino, kepada AFP.

    Kedua-dua lelaki tersebut terlibat dalam pertelingkahan ketika mereka menaiki kereta bersama pada pagi kelmarin di luar sebuah pusat sukan di pinggir bandar Milan, Cernusco sul Naviglio.

    Perlino memaklumkan kepada AFP bahawa anak guamnya bertindak mempertahankan diri dengan menikam mangsa di leher.

    Beretta, yang pernah disabitkan kesalahan beberapa kali atas pertuduhan melakukan keganasan dan pengedaran dadah, menjadi ketua ultras Inter selepas pemimpin bersejarah mereka, Vittorio Boiocchi, dibunuh pada Oktober 2022.

    Menurut laporan media, Bellocco merupakan pewaris kepada keluarga jenayah ‘Ndrangheta’ yang berpengaruh dari Calabria dan sebelum ini telah dipenjara atas kegiatan jenayah terancang.

    Pendakwa raya yang mengendalikan kes itu ialah Paolo Storari, seorang pakar dalam jenayah terancang, yang sebelum ini mengetuai siasatan pembunuhan Boiocchi serta penyusupan mafia dalam kalangan kumpulan penyokong tegar bola sepak Itali. – AFP

    Peminat Inter Milan memberi sorakan semasa perlawanan bola sepak Serie A Itali antara Inter Milan dan Torino di Stadium San Siro di Milan, pada 28 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda