Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketua pertahanan AS runding jet, Afghanistan

    NEW DELHI, 26 Sept – Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis berada di ibu kota India hari ini, lawatan pertamanya ke negara itu daripada pegawai peringkat kabinet dari pentadbiran Presiden Donald Trump.

    Dalam rundingan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi dan pegawai-pegawai lain, Mattis dijangka menumpukan rundingan pada keselamatan di Afghanistan, teknologi tentera dan kemungkinan perjanjian berhubung jet-jet pejuang.

    Mattis telah memulakan lawatannya dengan mengadakan pertemuan dengan kakitangan di Kedutaan AS awal hari ini, sebelum memeriksa kawalan kehormat India di New Delhi.

    Kemudian dia mengadakan pertemuan dengan Modi, Penasihat Keselamatan Kebangsaan Ajit Doval dan rakan sejawatan Mattis di India yang baru dilantik, Menteri Pertahanan Nirmala Sitharaman.

    Pada hujung minggu lalu, Jabatan Pertahanan AS berkata ‘AS menganggap India sebagai rakan berharga dan berpengaruh, dengan minat meluas yang sama yang melewati Asia Selatan.”

    Jim Mattis (kiri) bersalaman dengan Nirmala Sitharaman di Kementerian Pertahanan India menjelang mesyuarat di New Delhi pada 26 September. – AFP

    Rundingan mungkin melibatkan bagaimana kedua-dua negara demokrasi itu boleh mengukuhkan kerjasama berhubung keselamatan di Afghanistan dan mencapai kemajuan berhubung perjanjian bagi AS untuk membekalkan India dengan jet-jet pejuang.

    Bulan lalu, Trump menggesa India membantu lagi dengan usaha keselamatan di Afghanistan, ketika Washington meningkatkan kempen ketenteraannya sendiri ke atas pemberontak-pemberontak Taliban yang telah meraih pengaruh.

    Setakat ini, New Delhi telah menyumbang kira-kira AS$3 bilion ke arah membina lebuh raya, sistem transmisi tenaga dan empangan, dan juga membantu kesihatan awam dan pendidikan di negara yang dicengkam peperangan itu.

    Dalam rundingannya dengan para pegawai India hari ini, Pentagon berkata Mattis akan cuba membincangkan kaedah lain India boleh membantu mengukuhkan keselamatan di Afghanistan.

    Beberapa pegawai di New Delhi mengatakan India boleh melatih tentera-tentera Afghanistan dalam mencegah pengganasan.

    Mattis akan juga mengharapkan memeterai perjanjian baru dengan India, salah sebuah negara yang menjadi pembeli terbesar peralatan pertahanan di dunia.

    Ketenteraan India telah mengadakan rundingan dengan pengeluar-pengeluar senjata utama sejagat bagi dron, pesawat udara gempur dan kapal selam, sementara juga mendesak AS mengongsikan teknologi dan kemampuan untuk mengeluarkan jet-jet pejuangnya sendiri. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda