Ketua polis Atlanta letak jawatan

WASHINGTON, 14 JUN – Ketua Polis Atlanta meletak jawatan selepas seorang anggotanya menembak mati lelaki kulit hitam, dalam cubaan menahan mangsa, kata Datuk Bandar semalam, ketika Amerika Syarikat (AS) dibelenggu rusuhan, bantahan perkauman dan ke-ganasan polis.

Datuk Bandar Keisa Lance Bottoms, yang dianggap berpotensi membantu calon Presiden Demokrat, Joe Biden berkata, Erika Shields sudah berkhidmat dengan Jabatan Polis Atlanta selama lebih dua dekad.

“Berdasarkan impian beliau untuk melihat Atlanta menjadi model pembaharuan di negara ini, Shields menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ketua Polis,” katanya secara langsung di televisyen.

Insiden berkenaan berlaku ketika AS berhadapan rusuhan bersejarah menentang perkauman, yang dicetuskan oleh pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd oleh anggota polis Minneapolis pada 25 Mei lalu.

Bantahan yang bermula di AS itu kemudiannya turut tersebar ke seluruh dunia dan memaksa perbincangan hangat berhubung isu perhambaan, kolonialism dan keganasan komuniti kulit putih ke atas golongan kulit hitam, selain keganasan polis di Amerika.

Mangsa kulit hitam dikenali sebagai Rayshard Brooks, 27 tahun, ditembak mati malam Jumaat lalu di Atlanta.

Beliau sedang tidur di dalam kereta di kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera, apabila seorang pekerja bertindak membuat aduan kepada polis, dengan mendakwa mangsa menghalang pelanggan lain. – AFP

Gambar fail menunjukkan Ketua Polis Atlanta Erika Shields semasa menghadiri sidang media di Atlanta. – AP