REDMOND, WASH., 19 SEPT – Eksekutif produk terkemuka di Microsoft yang memperkenalkan rangkaian komputer Surface dan Windows 11 akan meninggalkan syarikat tersebut.
Panos Panay, akan meletak jawatan selepas hampir dua dekad di Microsoft, jawatan terakhir sebagai ketua pegawai produk, menurut memo kakitangan kelmarin.
“Di bawah pimpinan Panos, pasukan mencipta jenama ikonik Surface dengan produk yang popular,” kata mesej itu kepada pekerja daripada Rajesh Jha, Pengarah Eksekutif kumpulan peranti Microsoft.
Seorang lagi eksekutif lama, Yusuf Mehdi, yang kini adalah ketua pegawai pemasaran untuk produk pengguna, akan mengambil alih bahagian Windows dan peranti Surface serta produk-produknya, kata Jha.
Nota tersebut menyatakan bahawa Panay akan membantu dalam proses peralihan.
“Selepas 19 tahun yang luar biasa di Microsoft, saya telah memutuskan untuk memulakan bab baharu dan menulis bab seterusnya,” menurut satu catatan media sosial dari Panay di platform X. Beliau tidak menyebut apa yang akan diusahakannya selepas ini.
Peranti Surface pertama, komputer riba, diperkenalkan pada tahun 2012 di pasaran yang dikuasai oleh iPad Apple.
Sdalah luar biasa bagi Microsoft yang memberi tumpuan kepada perisian, untuk memperoleh keuntungan daripada pengilang komputer lain yang menjalankan sistem operasi Windows, untuk mula mereka dan menjual rangkaian komputer canggih mereka sendiri. Peranti Surface hanya membentuk sebahagian kecil pasaran komputer peribadi. – AP
