Ketua Syiah di Bahrain hilang hak rayuan

DUBAI, 28 Jan – Mahkamah tinggi Bahrain, hari ini menyokong hukuman penjara seumur hidup ke atas pemimpin pembangkang Syiah Sheikh Ali Salman kerana mengintip untuk saingan Teluk, Qatar, menurut sumber pihak kehakiman.

Salman yang mengetuai kumpulan Syiah Al-Wefaq disabitkan dengan kesalahan pada November lalu akibat ‘berhubungan dengan para pegawai Qatar untuk menggulingkan pemerintahan berperlembagaan,’ yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi memerintah sebagai mempersenda.

Penolong-penolong Salman, Ali Al-Aswad dan Hassan Sultan yang telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, juga hilang hak untuk merayu. Kedua-dua lelaki itu adalah bekas ahli parlimen dan pada masa ini menetap di luar Bahrain.

Qatar berulang kali menafikan tuduhan berkomplot bersama Salman menentang Bahrain.

Bahrain dan Qatar terlibat dalam pertikaian serantau sejak Jun 2017 apabila mengikuti tindakan yang diketuai Saudi untuk memboikot Doha ekoran dakwaan ia mempunyai hubungan baik dengan musuh ketat serantau, Iran dan menyokong kumpulan pejuang radikal Islam.

Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menegah warganegaranya dari pergi ke Qatar.

Diperintah lebih dua abad oleh dinasti Al-Khalifa Sunni, Bahrain dilanda siri-siri kacau bilau sejak 2011, apabila pasukan keselamatan bertindak ke atas bantahan yang diketuai Syiah yang menuntut pemerintahan beraja berperlembagaan dan pelantikan perdana menteri.

Dua kumpulan utama pembangkang Bahrain, Al-Wefaq dan kumpulan sekular, Waad ditegah dari mewakili parlimen.

Pihak berkuasa Bahrain menuduh Iran Syiah membangkitkan kekacauan di negara beraja itu. Tehran menafikan dakwaan itu.

Kumpulan hak asasi kemanusiaan kerap berkata kes-kes terhadap para aktivis di Bahrain, lelaki dan wanita, keagamaan dan sekular, gagal memenuhi piawaian asas perbicaraan saksama. – AFP