NEW YORK/MYANMAR 27 Jun – Ketua tentera Myanmar dan beberapa pegawai atasan lain dituduh oleh Amnesty Antarabangsa melakukan jenayah kemanusiaan susulan serangan ‘bersistematik’ ke atas etnik Islam Rohingya, selaras dengan laporan dibentangkan oleh kumpulan hak asasi itu hari ini, sekaligus turut mendesak mereka didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Lebih daripada 700,000 penduduk Rohingya terpaksa melarikan diri dari negeri Rakhine selepas operasi besar-besaran pihak tentera yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘penghapusan etnik’.
Tentera Myanmar menafikan menjadikan etnik minoriti itu sebagai sasaran dan mendakwa mereka hanya mempertahankan diri dari militan Islam yang menyerang pos kawalan polis pada Ogos 2017.
Laporan terbaharu dari Amnesty itu berkata, ketua komander tentera, Min Aung Hlaing dan 12 pegawai atasan lain serta pegawai keselamatan terbabit dalam kempen keganasan terancang di wilayah Rakhine.
Ia merupakan kali pertama di mana beberapa pegawai kanan tentera didedahkan terkait dengan tindakan keganasan itu.

“Penghapusan etnik penduduk Rohingya dilaksanakan menerusi kempen kejam dan bersistematik, membabitkan pembunuhan ribuan penduduk Rohingya termasuk kanak-kanak oleh pasukan keselamatan,” kata laporan berkenaan.
Laporan itu juga mendakwa pasukan keselamatan turut bertanggungjawab melakukan keganasan seksual, menyeksa, mengusir dan membakar kedai serta ladang hingga menyebabkan penduduk kebuluran sebelum bertindak melarikan diri.
“Jenayah ini menyamai jenayah kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa kerana mereka terbabit secara langsung dalam serangan bersistematik ke atas etnik Rohingya,” kata laporan itu lagi.
Laporan itu mengatakan beberapa tokoh kanan ketenteraan dan polis sempadan mengawasi unit-unit yang secara langsung melakukan kekejaman yang didakwa, sementara beberapa pegawai mengetahui tindakan keganasan orang bawahan mereka namun gagal untuk mencegah, menghentikan atau menghukum jenayah yang dilakukan. – AFP

































