Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketuanan Brunei : Sikap Keterbukaan

    Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong

    Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

     

    KITA telah maklum bahawa Melayu Islam Beraja adalah asas kepada kewujudan dan survival Negara Melayu Islam Beraja. Dengan lain perkataan selagi negara ini mengamalkaan sistem beraja yang menegakkan kedudukan Islam sebagai rasmi serta penguasaan orang Melayu dalam semua bidang kehidupan seperti budaya, pendidikan, pentadbiran, perniagaan, pertanian, tanah, ekonomi, dan sebagainya maka selagi itulah ketuanan Negara Brunei Darussalam ini adalah milik orang Brunei. Justeru, pentingnya pengamalan dan penghayatan nilai-nilai Melayu Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara kerana MIB itu adalah identiti dan jatidiri bagi ketuanan Brunei. Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Melayu Islam Beraja bukan sahaja merupakan Dasar Dalam Negara bahkan jua merupakan Dasar Luar Negara Brunei Darussalaam.

    Pada kenyataannya bahawa MIB adalah asas kepada ketahanan ketuanan orang Brunei yang diamalkan sejak 600 tahun yang lalu terutama dalam mengadakan hubungan persahabatan dengan masyarakat luar yang datang ke Brunei misalnya melalui perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangi dengan negara-negara luar. Inilah juga merupakan benteng yang diamalkan dalam menghadapi apa jua cabaran dari dalam dan luar negera. Alhamdulillah, sikap keterbukaan Brunei berdasarkan kepada nilai-nilai MIB telah berjaya mempertahankan ketuanan orang Brunei di bumi Brunei Darussalam. MIB adalah menjadi rujukan dan garispadu dalam perlaksanaaan dasar luar sepanjang lebih dari setengah kurun kewujudannya sebagai sebuah negara. Sebagaimana titah Baginda Sultan sempena Sambutan Hari Keputeraan ke 46 tahun pada tahun 1992:

    Juga berkait dengan dasar luar ini, Negara Brunei Darussalam terus mengambil langkah mengadakan hubungan mesra dengan negara-negara yang ingin berbaik-baik dengan kita. Sehingga kini, negara kita telahpun menjalin hubungan diplomatik dengan lebih daripada 70 buah negara, dengan mengambil kira perkembangan-perkembangan mutakhir, iaitu serentak dengan tamatnya pertentangan ideologi. Pendeknya, dengan izin dan rahmat Allah serta berkat pegangan kita terhadap dasar-dasar MIB selama ini, maka Negara Brunei Darussalam terus meni’mati keamanan, ma’amur dan bahagia, dibawah perlindungan dan ‘inayah Allah Subhanahu Wata’ala.

    Kenyataannya dasar luar ini tidak bercanggah dengan ajaran Agama Islam bahkan selaras dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh pemerintahan Islam sejak zaman Rasullulah SAW dan Khulafa-Khulafa Ar-Rassyidin di Kota Madinah. Ini adalah merupakan dasar awal diplomasi Islam yang menjadi rujukan dan amalan setengah negara-negara Islam pada dewasa ini.

    Diplomasi atau hubungan luar yang menekan pada sikap saling hormat-menghormati dan berbaik-baik dengan masyarakat luar berdasarkan kepada hak serta kedaulatan negara masing-masing adalah prinsip keislaman. Ini adalah selaras dengan ajaran agama Islam iaitu melayan baik orang luar atau masyarakat luar sama ada Islam ataupun bukan Islam.

    Contoh Cop Mohor Rasulullah (Cincin).
    Contoh Cop Mohor Rasulullah (Cincin).

    MIB LOGO 2016 MFC

    Mohor Sultan Brunei yang digunakan ketika membuat hubungan diplomatik dengan  Gabenor Singapura pada tahun 1820an.
    Mohor Sultan Brunei yang digunakan ketika membuat hubungan diplomatik dengan Gabenor Singapura pada tahun 1820an.

    Peristiwa diplomatik pertama yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW adalah sebelum baginda di angkat menjadi utusan Allah SWT iaitu ketika perbalahan orang Quraisy dalam permasalahan perletakkan “Hajar al-Aswad”. Pertelingkahan tersebut hampir membawa kepada pembunuhan antara mereka kerana setiap kabilah mempertahankan hak untuk meletakkan batu terhormat tersebut setelah Ka’abah siap dibina semula.

    Bagaimanapun di atas kebajiksanaan Rasullulah SAW dengan berdasarkan kepada konsep keadilan dan diplomasi perbalahan ini telah dapat diselesaikan. Baginda sendiri telah meminta kepada semua ketua-ketua Quraisy untuk mengangkatkan Batu tersebut yang diletakkan di atas kain putih dan apabila sampai ke penjuru Ka ábah, Baginda sendiri yang meletakkan Batu Hajar Al-Aswad ke tempat asalnya. Ini adalah kerana kabilah-kabilah tersebut bersetuju barang siapa yang paling awal memasuki Ka’abah di esok hari dan beliau berhak menjadi hakim. Dan ternyata baginda Rasullulah SAW adalah orang yang pertama memasuki Ka’abah.

    Dalam aspek hubungan luar negara, dasar yang pernah dibuat dalam zaman Rasullalah SAW menjadi rujukan dan panduan dalam pengurusan dasar luar kebanyakan negara Islam khususnya melalui pengenalan sistem duta dan perlaksanaan diplomasi. Diplomasi dapat ditakrifkan sebagai suatu bentuk pengurusan hubungan antarabangsa melalui proses rundingan, suatu kaedah yang diselaraskan oleh duta atau perwakilan, perniagaan atau seni diplomat, kemahiran dalam mengendalikan urusan antarabangsa dan perundingan.

    Semasa awal kedatangan Islam, diplomasi dilaksanakan adalah sebagai gantian kepada peperangan. Ianya dijadikan sebagai perantaraan untuk menyampaikan mesej Islam sebelum bermula berperang atau sebagai cara untuk bertukar-tukar tawanan perang selepas tamat pertempuran serta mencari persamaan yang sama, penubuhan dan pembangunan kebudayaan dan komersial.

    Selain dari itu, diplomasi juga terpakai pada masa yang aman sebagai contoh perjanjian yang ditandatangani oleh umat Islam yang diwakili oleh Nabi Muhammad SAW dan penduduk Madinah, Yahudi dan Nasrani. Tambahan lagi, diplomasi selalunya mencari jalan persetujuan tetapi mencapai persefahaman kedamaian adalah lebih diutamakan. Islam menggunakan cara diplomasi sebagai satu taktik untuk mengajak manusia kepada beriman kepada Allah sekaligus ini menjadi salah satu metod dakwah Rasululllah SAW.

    Selepas termeterinya Perjanjian Hudaibiyah dengan penduduk Mekah, Nabi Muhammad SAW telah menghantar enam orang diplomat Islam ke pelbagai negara bukan Islam seperti Rom, Parsi, Mesir, Ethophia, Syria, Bahrain, Yaman dan Oman dengan mesej untuk berdakwah kepada mereka.

    Penghantaran mesej kepada kerajaan luar dari negara Madinah merupakan titik permulaan hubungan luar negara Islam dengan negara bukan Islam. Diplomasi yang wujud pada zaman Rasulullah SAW merupakan contoh diplomasi yang ideal dan mencapai standard sempurna dalam sejarah diplomasi dunia dan khasnya dalam sejarah Islam. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menafikan bahawa pada tempoh ini, diplomasi yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW adalah yang terbaik yang pernah wujud dalam sejarah manusia.

    Bagi Negara Brunei Darussalam, sejarah telah membukti bahawa sejak kedatang kuasa-kuasa Barat bermula dari awal kurun ke 16 bahkan sejak pertubuhan kerajaan Kesultanan Brunei dasar berbaik-baik dan menghormati tetamu dari luar adalah melambangkan sikap keterbukaan orang Brunei terutama dalam mengadakan hubungan perdagangan serta menjalinkan hubungan diplomatik dengan masyarakat luar.

    Ini jelas terbukti berdasarkan amalan hubungan persahabatan Brunei-China dan juga negara-negara jiran serta dunia barat dari sejak zaman silam sehingga ke hari ini. Sikap keterbukaaan inilah yang menyebabkan ketuanan orang Brunei terus dapat dikekalkan sehingga ke hari ini dibumi Brunei Darussalam. Oleh itu dasar luar MIB adalah merupakan satu bentuk pengurusan hubungan antarabangsa dan dalam masa yang sama memelihara syariat Islam dengan menggunakan kebijaksanaan dan kepintaran untuk mewujudkan keamanan, kedamaian dan mengeratkan kerjasama serantau serta antarabangsa.

    Oleh itu, pengamalan MIB adalah bertujuan untuk memelihara hak ketuanan Brunei tanpa mendiskrimasikan masyarakat luar. Ianya adalah cara yang adil dalam amalan kehidupan masyarakat yang terdiri dari berbagai bangsa, agama dan keturunan.Sikap keterbukaaan adalah kesediaan orang Brunei menerima masyarakat luar yang berbeda dengan kondisi dirinya. Dalam kehidupan berbangsa dan bernegara, sikap terbuka diperlukan terutama dalam hal menjaga   keutuhan bangsa, mempererat hubungan toleransi, serta untuk menghindari konflik. Dengan bersikap terbuka, masyarakat luar hendak menerima cara hidup masyarakat Brunei untuk melahirkan sikap tolerani, harmoni dan bersatupadu. Masyarakat luar di negara ini diberi layanan dan peluang yang sama berdasarkan kepada perlembagaan dan undang-undang negara selaras dengan cara hidup Melayu Islam Beraja.

    Ini terbukti di mana masyarakat asing di negara ini mempunyai peluang yang sama dengan masyarakat Brunei dalam membangun dan memajukan negara ini misalnya dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Bahkan dalam kehidupan beradat istiadat orang luar yang berjasa menyumbangkan tenaga dan fikiran diberi penghargaan dan pengurniaan dari segi gelaran, pangkat dan keistemewaan. Malah dalam bidang perniagaan masyarakat luar hampir memonopoli setengah kegiatan ekonomi di Brunei. Ini adalah satu sikap keterbukaan orang-orang Brunei berdasarkan kepada nilai-nilai MIB. Ini adalah satu cabaran kepada survival ketuanan orang Brunei dalam era globalisasi masa kini yang patut diambil iktibar.

    Maka asas ketuanan Brunei berdasarkan MIB adalah adil dan menjadi sumber perpaduan dan penyatuan masyarakat Brunei. Dalam hal ini kepada masyarakat asing khususnya orang-orang Tionghua dan India hendaklah memahami dan mengetahui aspirasi negara bagi mengujudkan kesepaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Sebagai titah Baginda Sultan:

    …Beta ingin juga untuk mengingatkan sekali lagi kepada masharakat Tionghua dan masharakat keturunan lain dinegara ini khususnya jenerasi muda supaya akan terus berusaha pada menyesuaikan diri dengan keperluan-keperluan dan aspirasi Negara Brunei Darussalam dalam berbagai-bagai bidang kehidupan, selaras dengan kedudukan Negara Brunei Darussalam yang dengan izin Allah, Insha Allah akan untok selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang demokratik.

    Kesimpulannya, kelangsungan ketuanan orang Brunei adalah bergantung orang-orang Brunei sendiri. Harus difahami bahawa sikap keterbukaaan tidak semestinya menguntungkan dan memberi impak yang postif kepada masyarakat Brunei khususnya dalam memelihara dan mengekalkan ketuanan Brunei. Sejarah telah membuktikan bahawa disebabkan sikap keterbukaan dan terlalu baik orang Brunei pada orang asing menyebabkan Negeri Brunei hampir lenyap dalam peta sejarah dunia. Oleh itu rujukanlah sejarah zaman silam negara sebagai iktibar untuk terus maju ke hadapan dalam arus cabaran globalisasi bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda