Ketupat palas sejuk beku Malaysia dapat tempat di Selatan Thailand

PATTANI – Ketupat palas sejuk beku dari Malaysia diterima baik pada pameran dan expo produk makanan Halal Malaysia “Rasa-Rasa Malay Aroi” di Selatan Thailand.

Kaunselor Pertanian, Pejabat Perwakilan Pertanian di Bangkok Hairuddin Maslan berkata sempena expo kali ini, pihaknya buat kali pertama memperkenalkan ketupat palas sejuk beku kepada kepada pengguna di situ.

“Kita sedia tahu ketupat palas juga terdapat di selatan Thailand. Namun, ketupat palas sejuk beku Malaysia mendapat tempat kerana ia senang disediakan dan sedap dimakan.

“Kami akan mempergiatkan usaha untuk mempromosi ketupat palas sejuk beku khususnya di selatan Thailand,” katanya kepada Bernama di sini.

Program expo dan pameran “Rasa-Rasa Malay Aroi” yang diadakan di ASEAN Mall di sini bermula Sabtu sehingga 5 Disember ini dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pejabat Perwakilan Pertanian Bangkok.

Ketupat palas antara makanan dari Malaysia diterima baik pada pameran dan expo produk makanan Halal Malaysia “Rasa-Rasa Malay Aroi” di Selatan Thailand. – Agensi
Pengurus Operasi Uniti Asia Business Group (Malaysia) Zamri Said (dua, kanan) menunjukkan bungkusan ketupat palas sejuk beku di pameran dan expo produk makanan Halal Malaysia “Rasa-Rasa Malay Aroi” di ASEAN Mall Pattani di selatan Thailand. – Bernama

Produk makanan dan barangan penjagaan diri berasaskan hasil tani keluaran 31 usahawan bimbingan agensi di bawah MAFI dan agensi-agensi lain diperagakan. Antara produk-produk makanan yang diperagakan termasuk keropok lekor, biskut kelapa dan coklat.
Hairuddin berkata MAFI melalui Pejabat Perwakilan Pertanian Bangkok sedang mempergiatkan usaha untuk meneroka potensi produk industri makanan keluaran usahawan kecil dan sederhana Malaysia di pasaran Thailand.

“Produk-produk Halal dari Malaysia berpotensi besar di pasaran selatan Thailand berikutan citarasa produk yang hampir sama,” katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif ASEAN Mall Warawit Baru berkata ASEAN Mall merupakan gateway produk-produk Halal khususnya dari Malaysia dan Indonesia ke Thailand.

“Produk-produk Halal dari Malaysia kini semakin mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan termasuk mereka yang bukan Islam.
“Oleh itu, pihak pengurusan akan mempergiatkan promosi untuk memperkenalkan produk-produk Halal kepada penduduk tempatan di empat wilayah di selatan Thailand,” katanya

ASEAN Mall @ Pattani yang berkeluasan 10,000 meter persegi merupakan satu ‘community mall” untuk memasarkan produk-produk dari Malaysia dan negara-negara ASEAN. Ia merupakan kerjasama antara Uniti Asia Business Group (Malaysia), Pattani Jaya Holdings (Thailand) dan Koperasi Islam (Thailand). – Bernama