Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keunikan citarasa daging Kanggaru

    KABINET kaca dalam kedai daging Dean Cooper di Central Market Adelaide, Australia dipenuhi stik, bebola daging, kebab dan sosej yang disusun rapi.

    Tidak seperti kedai daging lain di negara tersebut atau di seluruh dunia, kedai Dean Cooper hanya menjual daging kanggaru.

    “Ia daging yang sihat, rendah lemak, penuh zat besi, bebas pencemaran dan organik. Ia lebih sedap apabila dinikmati secara separuh masak,” ujar pemiliknya Dean Cooper.

    Salah seorang pelanggannya, Carol Wyld memberitahu, dia telah membeli daging di kedai tersebut sejak ia dibuka kira-kira tiga dekad lalu.

    “Daging kanggaru jauh lebih baik daripada daging kambing atau lembu. Ia cantik dan dagingnya akan cair di dalam mulut anda.

    Kedai Dean Cooper di Central Market Adelaide hanya menjual daging kanggaru.

    “Saya merupakan penggemar sup ekor kanggaru dan esok malam saya akan menyediakan hidangan lasagne menggunakan daging kanggaru cincang,” jelasnya.

    Begitupun, pendapat positif disuarakan oleh Cooper dan Wyld dalam sebuah laman web tempatan itu masih gagal mempengaruhi minat penduduk Australia menikmati daging kanggaru.

    Baru-baru ini, kerajaan negara kepulauan itu telah menyeru supaya rakyatnya meningkatkan pengambilan daging kanggaru dalam diet harian mereka.

    Seruan tersebut dilakukan bagi mengurangkan populasi kanggaru yang dianggarkan mencecah 45 juta ekor pada tahun lalu.

    Jumlah itu adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah penduduk Australia pada tahun 2016 iaitu seramai 25 juta orang.

    Menurut pakar, peningkatan tersebut didorong pertambahan kadar hujan sekali gus membantu menyuburkan rumput yang merupakan sumber makanan kanggaru.

    Seorang penternak kambing organik berhampiran Broken Hill, Garry Hannigan memberitahu, dia melihat sendiri ledakan jumlah kanggaru.

    “Dua atau tiga minggu lalu, jumlah kanggaru di sini dianggarkan ribuan ekor. Ia sentiasa berlegar-legar di kawasan ini sehingga ada yang dilanggar kereta.

    “Kanggaru ini makan apa sahaja termasuk akar rumput sekali gus menyebabkan hakisan di sepanjang pagar. Ini kerana akar rumput yang mencengkam tanah sudah tiada,” jelasnya.

    Tambah Hannigan, sewaktu musim kemarau, berjuta-juta ekor kanggaru akan mati akibat kelaparan. Jelasnya, Australia pernah mengalami kemarau teruk bermula pada tahun 2000 hingga tahun 2007.

    Bagaimanapun, populasi kanggaru hanya turun kepada 23 juta ekor. Jumlah populasi haiwan mamalia itu kembali melonjak pada tahun 2011 kepada 34 juta ekor.

    Justeru, pakar tempatan menyeru orang ramai supaya memburu dan menikmati lebih banyak daging kanggaru.

    Haiwan perosak

    Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Lestari dan Alam Sekitar Victoria, haiwan ikonik Australia itu dianggap sebagai haiwan perosak.

    Ia dilaporkan pernah merosakkan pagar dan tanaman. Selain itu, ia menjadi pesaing kepada haiwan ternakan dari aspek makanan dan air.

    Kanggaru turut mengancam nyawa manusia terutamanya yang mendiami kawasan kediaman penduduk.

    Seorang pemburu di New South Wales, Andrew Wall memberitahu, tidak ada insentif yang baik untuk menarik penembak profesional memburu kanggaru.

    Jelasnya, kesukaran menarik pemburu itu adalah disebabkan harga daging kanggaru yang sangat rendah dalam pasaran iaitu sekitar AUS$1 sekilogram.

    Kanggaru hidup secara liar di Australia.

    “Pada tahun lalu dianggarkan hanya tiga peratus daripada jumlah keseluruhan kanggaru di wilayah ini berjaya ditembak mati.

    “Harga daging yang terlalu rendah membuatkan pemburu enggan keluar memburu. Buat masa ini, daging kanggaru memang tidak ada nilai komersial,” katanya.

    Memburukkan lagi keadaan, kebanyakan penduduk tempatan enggan memakan daging kanggaru. Malah, ia juga sukar diperoleh di restoran-restoran sekitar Australia.

    Kebanyakan penduduk Australia di Adelaide dan Sydney berpendapat memakan daging kanggaru adalah sesuatu yang melucukan.

    Comel

    Salah seorang gadis tempatan yang ditemu bual oleh agensi berita ABC memberitahu, kanggaru adalah haiwan kebangsaan negara tersebut.

    Jelasnya, hampir semua individu seusia mengenali Skippy iaitu salah satu watak dalam Skippy the Bush Kangaroo yang popular sekitar tahun 1960-an.

    “Kami melihat kanggaru sebagai haiwan comel. Ia juga digunakan dalam logo rasmi kerajaan. Tidak pernah terfikir untuk menjadikannya hidangan makan malam.

    “Seorang cef pernah memberitahu saya, rasa kanggaru sama dengan makan Bambi iaitu watak rusa comel dalam kartun Disney,” katanya.

    Satu-satunya restoran yang menjual hidangan berasaskan daging kanggaru ialah Red Ocher Gril di Adelaide.

    Ketua cef restoran berkenaan, Nick Filsell memaklumkan, kebanyakan pelanggan di restorannya terdiri daripada pelancong luar negara.

    “Kanggaru adalah sejenis daging yang baru di pasaran seperti buaya dan emu (sejenis burung menyerupai burung unta). Kebanyakan penduduk tempatan tidak menggemari daging kanggaru,” katanya.

    Nada sama turut disuarakan selebriti cef tempatan, Neil Perry yang memaklumkan orang ramai tidak gemar daging kanggaru kerana dianggap kotor.

    Jelasnya, orang ramai percaya kebanyakan daging kanggaru ditembak dari alam liar dan bukannya dari ladang penternakan yang melalui proses penyembelihan.

    “Orang berfikir tentang kanggaru yang dilanggar oleh kereta dan dibiarkan terbaring di atas jalan yang berdebu sebelum disinari bahang matahari.

    “Aktivis haiwan turut membangkitkan kebimbangan mengenai pemburuan kanggaru betina yang mempunyai joeus (anak) di dalam kantung,” jelasnya.

    Sokongan

    Sementara itu, Pensyarah Universiti Adelaide, Prof. Madya David Paton berkata, orang ramai perlu menyokong program pengurangan kanggaru di negara tersebut.

    Dia memaklumkan, program tersebut dapat dijayakan seandainya komuniti meningkatkan jumlah pengambilan daging kanggaru sekali gus mengelakkannya ia menjadi bangkai.

    “Sekiranya ingin memusnahkan haiwan ini, kita perlu melakukan dengan penuh perikemanusiaan. Kita juga perlu memikirkan cara menggunakan daging kanggaru yang telah dibunuh.

    “Kita tidak sepatutnya meninggalkan bangkai kanggaru di tengah-tengah padang pasir dan membiarkannya mereput begitu sahaja,” katanya.

    Jelas Paton, Australia bakal kehilangan banyak biodiversiti, seandainya tidak memulakan usaha menangani isu peningkatan populasi kanggaru.

    “Ia bukan salah kanggaru sehingga jumlahnya semakin bertambah. Mungkin kita terlalu berlembut untuk mengeluarkannya dari ekosistem lebih awal,” jelasnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda