Keunikan gastronomi antarabangsa

Oleh Nurdiyanah R.

Apabila pelbagai hidangan gastronomi digabungkan, ia akan menawarkan satu hidangan yang begitu indah apatah lagi ia mempunyai ciri-ciri makanan dan minumannya yang tersendiri.

Begitulah suasana yang dapat dirasakan semasa berlangsungnya Pesta Makanan Amal Antarabangsa Tahun 2019 di Aman Lounge, Peak Performance Sdn Bhd, baru-baru ini.

Tart berasaskan buat tembikai wangi Jepun

Menjejakkan kaki ke ruang pesta berkenaan, penulis tertarik dengan kreativiti salah sebuah syarikat tempatan, Syarikat Superfish Growers yang mampu mengolah keunikan hidangan pencuci mulut berupa tart berasaskan bahan utama dari buah Japanese Muskmelon atau tembikai wangi Jepun yang begitu segar.

Tart Melon ini begitu lazat dengan adanya adunan bahan-bahan seperti mentega, gula, tepung dan juga kelapa. Manakala dilapisi pula dengan topping krim yang sedap serta daun pudina yang sekali gus menaikkan aroma rasa yang menyelerakan apabila dinikmati.

Kelazatan nasi lemak tradisional Malaysia

Selain itu, kelazatan nasi yang dimasak dengan air santan kelapa asli dengan aroma dari hirisan daun pandan turut menjadi salah satu tarikan hidangan tradisional khas Negara Malaysia yang ditampilkan oleh Persatuan Wanita Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam semasa berlangsungnya pesta berkenaan.

Dikenali dengan nama Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah itu semakin menyelerakan apabila disediakan bersama set yang lengkap terdiri dari sambal yang berasaskan bahan-bahan utama seperti bawang merah dan bawang putih, cili kering dan juga ikan bilis; kacang tanah goreng dan telur serta hirisan ulam timun. Selain itu, Laksa Penang dan Rojak Buah juga turut diketengahkan kepada para pengunjung pesta berkenaan. Manakala salah satu hidangan ringan seperti sejenis dimsum ala cita rasa Indonesia yang mana ia diperbuat daripada makanan laut iaitu ikan yang dimasak secara kukus dikenali dengan nama Siomay turut ditampilkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam.

Apa yang menarik, Siomay ini dinikmati bersama sos kacang yang pastinya mampu memikat seseorang yang mencubanya, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan rasa pedas dari cili padi serta percikan jus limau kasturi untuk menambah kelazatannya lagi.

Acara amal khusus bagi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang dianjurkan oleh Kelab Wanita Antarabangsa Negara Brunei Darussalam atau International Women’s Club Brunei (IWCB) dengan kerjasama Project BIG BWN itu sememangnya sesuatu platform terbaik untuk mengetengahkan makanan dan cita rasa dari pelbagai negara di seluruh dunia kepada para pengunjung pesta berkenaan.

Tart istimewa berasaskan buah Japanese Muskmelon atau tembikai wangi Jepun telah dihasilkan oleh syarikat tempatan, Superfish Growers yang sememangnya begitu lazat.
Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah, Laksa Penang dan Rojak Buah merupakan antara hidangan tradisional khas Negara Malaysia yang ditampilkan oleh Persatuan Wanita Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.
Uniknya sejenis Dimsum ala cita rasa Indonesia yang diperbuat dari makanan laut iaitu ikan dikenali dengan nama Siomay dinikmati bersama sos kacang dengan adanya gabungan rasa pedas dari cili padi serta percikan jus limau kasturi untuk menambah kelazatannya lagi.
Suasana orang ramai yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke Pesta Makanan Amal Antarabangsa Tahun 2019 anjuran Kelab Wanita Antarabangsa Negara Brunei Darussalam baru-baru ini. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya.