Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Keunikan gubahan bunga daripada kulit jagung

    KOTA KINABALU – Lazimnya kulit jagung akan dibuang begitu sahaja selepas isinya diambil untuk diproses namun siapa sangka ia boleh digubah menjadi kuntuman bunga yang indah pada pandangan mata.

    Ini dibuktikan oleh Pengasas Upcycled Shack, Tressie Yap, 50, yang menghasilkan kraf jambangan bunga daripada kulit jagung dan berkongsikan kemahirannya itu dengan lebih 20 suri rumah di Kota Marudu menerusi kursus anjuran bersama rakannya, Farni Millis seorang usahawan sosial di daerah itu.

    Kota Marudu, kira-kira 125 kilometer ke utara Sabah, merupakan sebuah daerah yang terkenal sebagai pengeluar tanaman jagung.

    Yap berkata Farni sebelum itu ada bertanyakan mengenai alternatif bagi memanfaatkan kulit jagung daripada dibakar begitu sahaja dalam kumpulan WhatsApp mereka.

    “Saya kemudian memberi respons dengan memberitahu bahawa saya pernah membuat kraf menggunakan kulit jagung seperti bunga dan anting-anting tetapi hanya sekadar hobi.

    Pengasas Upcycled Shack, Tressie Yap yang menghasilkan kraf jambangan bunga daripada kulit jagung. – Bernama
    Tressie Yap menunjukkan kraf jambangan bunga yang diperbuat daripada kulit jagung kepada pelanggan yang singgah ke pondok jualannya. – Bernama

    Antara kraf jambangan bunga yang dihasilkan Tressie Yap. – Agensi

    “Selepas itu, Farni tanya adakah saya boleh memberi latihan? Saya mengatakan saya cuba dan kemudian kami memulakannya (kursus dan latihan membuat kraf berasaskan kulit jagung) kira-kira dua bulan lepas,” katanya yang ditemui Bernama di reruai ‘Corn Husk Craft’ pada program Kembara Riuh Bah! Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

    Beliau berkata walaupun baru dua bulan beroperasi, tempahan jambangan bunga daripada pelanggan sangat menggalakkan terutama ketika sambutan Hari Ibu, selain untuk majlis perkahwinan, hari jadi dan pembukaan kedai.

    “Bunga ini (daripada kulit jagung) adalah produk mesra alam yang organik kerana ia berasal daripada tanaman pertanian. Kami mahu seiring dengan konsep mesra alam. Warna untuk bunga-bunga ini juga menggunakan bahan daripada tumbuh-tumbuhan seperti bunga kertas, kunyit, pandan dan kulit bawang.

    “Tidak dinafikan ada sedikit kekangan serta cabaran untuk mendapatkan bahan (bagi menghasilkan warna bunga) dan kami akan cuba mengatasinya. Bagaimanapun, kami akan memberitahu pelanggan bahawa ada sebahagian kuntuman bunga diwarna menggunakan pewarna makanan,” katanya.

    Menurut Yap, setakat ini kira-kira 2,000 kuntum bunga pelbagai warna dihasilkan daripada kulit jagung telah dijual pada harga RM6 hingga RM7 sekuntum dan sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan diagih kepada setiap penggubah bunga.

    Yap yang juga seorang arkitek dan usahawan sosial berkata kursus digerakkan menerusi program memperkasa komuniti tersebut merupakan inisiatif bersama Perusahaan Farni dan Upcycled Shack bertujuan melonjakkan potensi wanita luar bandar dengan memanfaatkan sisa pertanian untuk mengembangkan pendapatan.

    Beliau yang berkecimpung dalam dunia kitar semula dan memberi tumpuan kepada konsep sisa sifar sejak lapan tahun lepas, mempunyai perspektif untuk memastikan setiap bahan terbuang dijadikan produk barangan mendatangkan hasil dan dalam masa sama dapat menjaga alam sekitar.

    “Kami mahu meneruskan usaha ini untuk memperkasa komuniti kampung terutama di luar bandar dengan menggunakan konsep sisa pertanian dijadikan pendapatan. Ia hanya memerlukan modal sangat minimum untuk mereka memulakan perniagaan.

    “Inisiatif ini sangat membantu ibu tunggal atau suri rumah yang berminat menjadi usahawan bagi menambah sumber pendapatan,” katanya.

    Individu berminat mendapatkan gubahan bunga daripada kulit jagung dihasilkan komuniti Kota Marudu boleh membuat tempahan menerusi Facebook atau Instagram Corn Husk Craft. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...