Keunikan hotel ais memukau pelancong

JUKKASJAERVI, SWEDEN – Terletak di atas Arctic Circle dan di celah-celah hutan yang dilitupi salji di utara Sweden, sekumpulan pelancong yang sibuk berceloteh berkumpul pada pagi Februari untuk melihat dewan, bilik tidur dan gereja kecil perkahwinan yang diukir daripada ais, sebahagian daripada penjelmaan semula hotel ais Sweden ke-30.

Berhenti di ruang dewan biru-putih untuk mengambil gambar candelier dan bilik tidur yang dihiasi dan diukir daripada ais, pelancong adalah antara 50,000 pelawat sehari yang mengunjungi hotel setiap tahun, ditubuhkan pada 1989 oleh seorang pemilik hotel yang ingin menarik pelawat ke bandar terpencil Jukkasjarvi, 200 kilometer dari utara Arctic Circle.

Dibina setiap bulan Oktober daripada air beku sungai Torne berhampiran, hotel musim sejuk itu mempunyai 35 buah bilik.

Suhu mencecah -5 darjah Celsius dalam bilik, yang bermula pada kira-kira tiga kali harga purata satu malam dalam hotel tiga-bintang di Stockholm.

Suite individu adalah lebih mahal, dan memaparkan ukiran dan reka bentuk oleh artis dari seluruh dunia.

Dibina setiap Oktober daripada air beku sungai Torne berhampiran, hotel musim sejuk itu mempunyai 35 buah bilik. – AFP

Sebuah bilik diilhamkan daripada aurora borealis – cahaya utara yang boleh dilihat di langit berhampiran – memaparkan cahaya yang bertukar warna, serta patung salji kepala rusa, semuanya berlatarkan bunyi muzik alam sekitar dan, ada kalanya bunyi dengusan rusa.

Kira-kira 20,000 tetamu menghabiskan satu malam di hotel itu setiap tahun.

Namun pemandu pelancong berusia 25 tahun, Julia Hansers berkata pengunjung biasanya tidak memberikan reaksi besar terhadap suhu sejuk berbanding ketenangan keadaan sekeliling.

“Ramai orang yang datang ke sini tinggal di bandar, dan di sana anda sentiasa mendengar bunyi di sekeliling anda, dan di dalam hotel ais, suasana adalah amat senyap,” kata Hansers, melihat keadaan di luar hotel dari bawah topi berbulu tebal,

Bo Bjerggaard, seorang pemilik galeri dari Copenhagen, menghabiskan malam dalam beg tidur dan berselimutkan kulit rusa.

“Sepanjang malam, saya terpaksa bangun sekali-skala kerana suasana amat sejuk,” kata Bjerggaard, berdiri di luar halaman hotel yang diperbuat daripada salji.

“Kemudian seronok rasanya apabila anda kembali semula dalam beg tidur – anda tidur dengan amat lena disebabkan suhu tersebut,” katanya sambil tersenyum.

Tetamu boleh menikmati minuman dalam hotel ais, di mana semua minuman dihidangkan dalam gelas yang dibuat daripada ais.

Sejak 2016, hotel itu juga telah menggunakan panel solar untuk menghasilkan elektrik untuk menyejukkan bangunan berhampiran kepada suhu sifar untuk membenarkan mereka mengekal 20 bilik dalam keadaan beku sepanjang tahun.

Apabila musim bunga menjelang, bilik hotel musim sejuk tersebut ditutup dan ia cair semula menjadi sungai sehinggalah bulan Oktober. – AFP