MARRERO – Suhu telah mencecah pada tahap 93 darjah dan tanah pula berada dalam keadaan lembap di sekitar kawasan paya Louisiana.
Setentunya ramai yang akan menganggap ia sebagai satu perkara yang tidak masuk akal namun apa yang anda temui di kawasan Pemuliharaan Barataria Taman Bersejarah Nasional dan Pemuliharaan Jean Lafitte merupakan suatu perkara yang cukup menakjubkan.
Simfoni bunyi katak, pokok berusia 700 tahun dan landskap lumut menghijau yang nampaknya akan cair dalam suhu panas di dalam hutan dan tanah lembap merupakan antara elemen yang bakal anda terokai.
Pokok palma dengan daun berbentuk kipas melambai-lambai jelas memperlihatkan sifatnya yang seolah-olah mengalu-alukan kedatangan para pengunjung.
Pembentukan luar biasa pokok sipres pula kelihatan seperti lutut yang menanjak naik menerusi tanah paya. Lumut pula mengelilingi kawasan dahan pada setiap pokok.
Sesetengah pengunjung mungkin berharap untuk bertemu dengan makhluk mitos seperti rougarou – separuh serigala separuh manusia dalam budaya rakyat Cajun – menghendap dalam hutan.
Bagaimanapun kelibat serigala juga sukar untuk ditemui di kawasan itu namun ada kalanya muncul terutama apabila melihat kelibat buaya dalam keadaan separuh timbul di kawasan air yang agak gelap itu.
Bunyi-bunyi haiwan seperti bunyi kuakan daripada katak gangsa yang berbunyi seperti hon basikal dan kodok bermulut kecil yang mengeluarkan bunyi seperti kambing biri-biri setentunya kedengaran cukup mempesonakan.
“Langkah yang harus diambil bagi memastikan sistem daya tahan diri dapat dikekalkan ketika berada pada musim panas di selatan Louisiana adalah dengan sentiasa membawa beberapa botol air ketika bersiar-siar melalui kawasan paya,” jelas Kristy Wallisch, seorang renjer taman yang sentiasa memberikan maklumat kepada individu yang berhasrat untuk menerokai kawasan itu.
“Mengikut tradisi, musim panas adalah musim yang kurang mendapat sambutan berikutan keadaannya yang dikatakan terlalu panas,” kata Wallisch.
Namun sementara penduduk tempatan mengunjungi pantai Teluk pada masa ini untuk mengelak cuaca panas dan kelembapan, taman itu juga menerima kunjungan orang yang datang dari luar.
“Walaupun suhu cuaca akan menjadi panas dan lembap, tetapi pengunjung akan berpeluang untuk melihat dan mendengar perkara yang menakjubkan di mana ia tidak akan kami lihat dan dengar di tempat lain,” kata beliau.
“Kenangan yang sangat menyeronokkan ketika menerokai kawasan tersebut setentunya akan dapat membuatkan anda boleh melupakan keadaan cuaca yang panas itu,” tambahnya.
Kawasan Pemuliharaan Barataria ialah satu daripada enam tapak yang merangkumi bahagian di Taman Bersejarah dan Pemuliharaan Nasional Jean Lafitte.
Tapak lain adalah termasuk sebuah pusat pelawat di Kuarter Perancis dan Medan Pertempuran Chalmette yang terkenal di New Orleans, di mana Pertempuran New Orleans telah tercetus pada tahun 1815.
Ia merupakan pertempuran terakhir dalam Peperangan 1812, di mana Andrew Jackson memimpin tentera Amerika dalam kemenangan David melawan Goliath ke atas tentera Britain.
Jackson juga berjaya meraih kemenangannnya berikutan daripada pertolongan daripada seorang lelaki yang telah banyak menyumbangkan jasa sekaligus diabadikan namanya pada taman itu.


Lafitte merupakan seorang lanun yang sering membekalkan askar, senjata dan banyak lagi kelengkapan yang lain.
Kekuasaan Lafitte jelas cukup kelihatan terutama apabila kehadirannya di New Orleans telah memaksa Jackson untuk membayar cukai kepada dirinya.
Malah dia juga memiliki akses laluan air dan beberapa operasinya juga berpangkalan pada kawasan Pemuliharaan Barataria yang masih dapat disaksikan sehingga kini.
Lawatan pengunjung di kawasan tersebut juga merangkumi beberapa jejak dan jalan di Palmetto Trail dan Bayou Coquille Trail.
Coquille adalah perkataan Perancis yang merujuk kepada makna cangkerang dan nama kawasan itu adalah sempena timbunan cangkerang yang dibuang oleh penduduk Asli Amerika yang pernah menghuni kawasan tersebut. Satu papan tanda juga telah didirikan untuk menandakan tempat itu pada masa ini.
Satu lagi papan tanda pula memaparkan ‘Raja Paya’ bagi merujuk kepada sebatang pokok sipres botak yang amat tua di mana ia dianggarkan berusia sekitar 700 tahun. Pokok berkenaan adalah amat berharga di selatan kerana strukturnya yang mampu bertahan daripada serangan anai-anai, namun kebanyakan spesies pokok itu juga telah ditebang.
“Kami sentiasa tertanya-tanya kenapa pokok itu kekal masih mampu bertahan,” kata Wallisch dalam merujuk kepada ‘Raja Pokok’ itu.
Pengembara yang menerokai kawasan itu dengan berjalan kaki juga berpotensi untuk melihat cicak dan ular – tetapi jika anda terjumpa dengannya maka jangan panik.
“Selalunya binatang tersebut tidak berminat untuk menyerang manusia malah ia lebih selesa untuk menghiraukan mengenai halnya yang tersendiri,” kata Wallisch.
“Selain itu rusa yang berekor putih di kawasan itu juga kelihatan lebih kecil berbanding rusa di tempat yang lain namun ia tetap memiliki kaki yang besar. Hakikatnya, ia adalah spesies rusa yang berevolusi dan tetap mengekalkan saiz kakinya bagi memastikan ia selesa dengan keadaan di kawasan tanah lembap itu,” tambahnya.
Kawasan pemuliharaan itu juga merupakan lokasi terbaik bagi penempatan habitat burung, terutama pada musim luruh dan bunga terutama ketika berjuta-juta ekor burung menuju dari selatan ke Amerika Tengah atau Selatan semasa musim sejuk, kemudian pulang semula ke tempat asal mereka.
Bagi pelancong yang melakukan kembara ke taman dari New Orleans, adalah dinasihatkan untuk mengunjungi kawasan pemuliharaan itu bagi melihat sendiri bagaimana keadaan New Orleans apabila peneroka Eropah tiba 300 tahun lalu.
“Landskap berpaya di rantau itu dan cuaca teruk mungkin bukan apa yang kami anggap sebagai khazanah utama. Namun lokasinya yang berdekatan dengan Sungai Mississippi itu jelas memperlihatkannya cukup strategik,” kata Wallisch. – AP