Keunikan Lamin Kampung gamit nostalgia lalu

Oleh Nurdiyanah R.

Dalam kita meniti arus zaman silih berganti, pelbagai kemajuan dan pembangunan tetap dinikmati, namun memartabatkan segala warisan kebudayaan itu adalah tanggungjawab bersama.

Warisan budaya bangsa ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu perkara remeh-temeh sehingga boleh memudarkan kewujudannya di mata masyarakat Melayu di mana bumi kita berpijak.

Sebaliknya, ia adalah perkara yang perlu dipertahankan agar ia sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat di Negara Brunei Darussalam sehingga dapat mewujudkan jiwa anak bangsa dengan satu ikatan yang merapatkan rasa kebersamaan dan menjadi citra yang menimbulkan rasa cinta dan setia kepada bangsa dan negara.

“Khazanah yang begitu berharga, itulah warisan budaya dan tradisi silam kita yang perlu dipertahankan bersama untuk menjadi ristaan generasi penerus pada masa akan datang yang sekali gus sebagai mercu tanda yang mencorakkan bangsa keBruneian itu sendiri.

“Oleh itu, dengan dibangunkan kediaman yang berkonsepkan nilai-nilai warisan budaya dan tradisi silam ini, ia sememangnya diharap mampu membuka minda dan jiwa anak bangsa kita mengenai betapa pentingnya mengetahui budaya dan tradisi nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Segalanya memiliki keistimewaan dan keunikan yang tersendiri jika kita menyelaminya,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Haji Samihon bin Haji Kechi selaku Pengusaha Lamin Kampung yang terletak di Kampung Penapar, Tanjong Maya, Daerah Tutong semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Lamin Kampung yang terletak di Kampung Penapar, Tanjong Maya, Daerah Tutong yang berkonsepkan nilai-nilai warisan budaya dan tradisi silam ini sememangnya diharap mampu membuka minda dan jiwa anak bangsa untuk mengenai betapa pentingnya mengetahui budaya dan tradisi nenek moyang suatu ketika dahulu.
Haji Samihon selaku Pengusaha Lamin Kampung semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
ATAS & BAWAH : Haji Samihon turut mengetengahkan jualan dan bengkel pertukangan kraf tangan kayu seperti peralatan dapur dan perabot di persekitaran Lamin Kampung itu.

ATAS & BAWAH : Antara koleksi barang-barang antik seperti televisyen lama, mesin jahit klasik dan gambar lama ristaan tahun 1960an.

Memartabatkan rumah ala kampung

Haji Samihon menjelaskan kata ‘Lamin’ berasal dari bahasa Tutong yang bermaksud rumah atau kediaman di mana beliau mengekalkan suasana ciri-ciri rumah ala kampung atau desa dengan diserikan persekitarannya dengan pelbagai tanaman dan tumbuh-tumbuhan penuh kehijauan. Lebih-lebih lagi dengan adanya bunyi-bunyi siulan burung-burung sehingga mampu menyemarakkan lagi keindahan suasananya.

“Menariknya budaya itu memiliki nilai-nilai tersurat dan tersirat. Sebahagian budaya dan tradisi itu mampu kita lihat secara langsung, itulah nilai tersurat namun apabila kita menerokai detik-detik itu dengan lebih terperinci itulah nilai tersirat yang akan kita perolehi bersama seperti teknik memburu burung punai dan juga membuat bubu,” jelasnya lagi yang telah membangunkan Lamin Kampung itu secara persendirian sekitar tahun 2011 setelah bersara berbekalkan kemahiran asas yang diperolehi dari ayah tercinta suatu ketika dahulu.

Galeri Seni Ku

Pengusaha salah sebuah destinasi pelancongan yang semakin giat memartabatkan budaya dan tradisi lama ini menyatakan bahawa adapun Lamin Kampung yang mula beroperasi untuk kunjungan orang ramai sejak tahun 2012 berkenaan turut mengetengahkan ruang koleksi gambar-gambar lama yang dikenali Galeri Seni Ku.

Galeri yang menyimpan gambar-gambar berkonsepkan nostalgia dalam kehidupan masyarakat setempat seperti suasana kampung ketika bermucang-mucang dan juga adat-adat perkahwinan.

Begitu juga koleksi barang-barang antik seperti televisyen lama, mesin jahit klasik dan kerusi besi lipat tahun 1960an.

“Setiap gambar menyimpan seribu kisah. Indah dan mampu mengusik jiwa dan hati, itulah yang saya rasainya apabila dapat mengumpulkan pelbagai koleksi silam di galeri ini untuk menjadi tatapan mereka yang berkunjung di Lamin Kampung ini akan keunikan khazanah barangan lama,” tambahnya yang juga merupakan salah seorang jurufoto tanah air sejak tahun 1971 hingga sekarang.

Kerajinan dan ketabahan

Dalam pada itu Haji Samihon yang merupakan seorang pesara guru turut mengetengahkan jualan dan bengkel pertukangan kraf tangan kayu seperti peralatan dapur dan perabot di persekitaran Lamin Kampung itu mengungkapkan dalam kita menjalani kehidupan sehari-hari mestilah sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh agar segala yang kita impian dan cita-cita tercapai bak kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Berbekalkan moto Kerajinan dan Ketabahan bagi Lamin Kampung, itulah prinsip yang sentiasa bersemadi dalam diri dan jiwa saya untuk meneruskan perusahaan demi memartabatkan budaya dan tradisi Melayu kita ini selagi dikurniakan rezeki kesihatan serta keizinan Allah SWT,” ucap beliau dengan nada penuh ketulusan yang turut bersyukur dengan adanya sambutan kira-kira 2000 orang pengunjung yang terdiri dari para pesara dan pelajar-pelajar dalam dan juga luar negara serta pelancong luar negara antaranya dari Ukraine, Turki, Malaysia, China dan Jepun semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.