Keunikan lumpur bebuak tarik pelancong ke Limbang

LIMBANG – Lumpur bebuak yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam di sini, mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri sehingga kawasan pedalaman ini menjadi tumpuan pelancong sekali gus berupaya menjana aktiviti ekonomi penduduk.

Walaupun belum ada kajian saintifik dilakukan terhadap lumpur yang licin, likat dan suam, kawah lumpur gunung berapi yang dikenali sebagai ‘lumpur bebuak’ di kampung ini, sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sebagai ‘pusat perubatan semula jadi’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang (MDL) berkata kewujudan ‘lumpur bebuak’ telah menyebabkan Kampung Meritam, terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Limbang, tidak sunyi daripada dikunjungi pelawat.

Katanya sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, hampir 300 pelawat berkunjung ke Kampung Meritam setiap hari hanya untuk menikmati ‘rawatan lumpur bebuak’, yang dikatakan boleh menjadi terapi menenangkan minda dan sesuai sebagai ‘masker’ untuk dilumur pada muka dan anggota badan selain dapat mengubati penyakit kulit.

“Ekoran sambutan menggalakkan ini, kita telah menganjurkan acara tahunan seperti Pesta Lumpur Bebuak yang diisi dengan pelbagai aktiviti dalam kawah lumpur seperti berendam, bermain bola tampar lumpur dan lain-lain.

Lumpur bebuak yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam di sini, mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri sehingga kawasan pedalaman ini menjadi tumpuan pelancong sekali gus berupaya menjana aktiviti ekonomi penduduk. – Bernama

“Bagi fasa endemik, kita sudah sedia untuk buka semula dan menerima kehadiran pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mencegah COVID-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Frederick berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf fasiliti dan kemudahan bagi memberikan pengalaman percutian yang terbaik kepada setiap pengunjung yang datang ke Limbang, daerah yang terletak di timur laut Bumi Kenyalang.

Daerah Limbang yang kaya dengan kepelbagaian, keunikan dan tarikan lokasi pelancongan dijangka bakal menjadi hab pelancongan baharu di Sarawak, pada tahun depan.

Menurut beliau sektor pelancongan Limbang yang sedang rancak dibangunkan ditambah dengan kedudukan strategiknya bersempadan dengan Brunei, berupaya memacu pertumbuhan ekonomi serta sumber pendapatan penduduk tempatan. 

Frederick berkata selain Kampung Meritam, kini terdapat pelbagai projek pembangunan pelancongan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan termasuk produk pelancongan baharu di Limbang yang sedang giat dibangunkan dengan kebanyakannya dijadualkan siap tahun depan.

Antaranya ialah Projek Limbang Waterfront secara berfasa, terletak di tengah-tengah bandar sepanjang hampir dua kilometer yang menelusuri pesisir Sungai Limbang adalah tarikan terbaharu daerah ini dengan pelbagai produk pelancongan seperti inap desa dan perahu tambang pelancong, bakal disediakan.

“Limbang Waterfront ini berhadapan dengan penempatan tepi sungai masyarakat Melayu yang akan dijadikan sebagai produk inap desa dengan pelbagai aktiviti untuk dinikmati pelancong selain restoran makanan laut.

“Uniknya, projek berfasa Limbang Waterfront akan menghubungkan laluan ke Taman Rekreasi Tasik Bukit Emas, seterusnya ke Taman Sukan Ekstrem Limbang yang juga sedang dibina selain Bukit Hitam, yang bakal menyajikan keindahan flora dan fauna di sini,” katanya.

MDL juga sedang giat menyediakan produk inap desa berasaskan budaya etnik masyarakat di Limbang bagi mempromosikan keunikan kepelbagian budaya di bandar terkenal dengan jolokan Bandar Kerbau ini. 

Bagi merealisasikan rancangan tersebut, Frederick berkata MDL sedang melatih, mendaftar dan mempersiapkan kira-kira 24 peserta inap desa daripada pelbagai etnik iaitu Bisaya, Iban, Kedayan, Melanau, Lun Bawang, Tabun, Kelabit dan Penan untuk mengetengahkan budaya serta adat resam etnik berkenaan. 

“Bagi pelawat  yang gemarkan keindahan alam, mereka bolehlah mengunjungi Jeti Santaba di Kampung Patiambun, sepanjang lebih satu kilometer untuk menyelusuri kawasan hutan paya bakau yang menjadi habitat spesies Monyet Belanda (proboscis) dan kelip-kelip pada waktu malam,” katanya. 

Sebelum penularan COVID-19, Frederick berkata Limbang sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa setiap tahun khususnya dari Brunei menerusi pelbagai penganjuran pesta dan acara keraian seperti Pesta Buah Limbang dan Hari Bukit Emas.

“Dengan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin pulih, dan hasrat kerajaan membuka semula pintu  sempadan negara ditambah dengan usaha kita dalam menyediakan produk baharu pelancongan, kami optimis Limbang mampu menjadi hab pelancongan baharu bagi Sarawak,” katanya. – Bernama