Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Keunikan mawar hitam halfeti di Turki

    HALFETI, TURKI – Jika dilihat dengan mata kasar, bunga mawar lembut di kawasan tenggara Turki nampak hitam tetapi semerbak dengan bau bunga yang sungguh harum.

    Kuntum atau tunas bunga ros juga berwarna hitam, dan apabila berkembang mekar sepenuhnya, warna bunga itu akan bertukar menjadi wain merah pekat.

    Bunga mawar berkenaan, dikenali sebagai ‘Karagul’ dalam bahasa Turki dan mempunyai lebih banyak duri berbanding spesies lain, hanya boleh tumbuh di bandar Halfeti dalam tanih yang mempunyai ciri-ciri tersendiri termasuk tahap PH khas.

    Warnanya yang unik itu tidak dapat dikekalkan atau diperoleh di mana-mana tempat lain, menurut pakar.

    Sekarang ini penduduk Halfeti ingin mengubah bunga mawar berkenaan menjadi satu jenama memandangkan sektor bunga ros di Turki telah menjadi perniagaan yang berkembang pesat.

    Devrim Tutus, pekebun mawar hitam Halfeti bergambar di rumah hijaunya di bandar Sanliurfa. – AFP
    Aydin Cetinhas, penjual mawar hitam Halfeti bergambar semasa temu bual di bandar Sanliurfa. – AFP
    Seorang penjual ais krim menunjukkan ais krim yang dihasilkan daripada mawar hitam Halfeti di bandar Sanliurfa. – AFP

    Bunga mawar kering kelihatan dalam rumah hijau di bandar Halfeti. – AFP

    Industri itu buat masa sekarang didominasi oleh wilayah barat Isparta, terkenal sebagai ‘taman bunga mawar’ Turki.

    Hari ini, Turki dan Bulgaria menyumbang kepada kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran minyak mawar di dunia.

    Namun penduduk Halfeti, Devrim Tutus, 28, telah pun melihat perniagaan tersebut berkembang maju.

    Selepas mengemukakan pelan perniagaan untuk mempromosi bunga mawar hitam, sekarang beliau membekalkan Istanbul dengan kelopak bunga untuk dijadikan minyak wangi kelonyor, sajian makanan dan ais krim.

    Permintaan telah pun mengatasi bekalan.

    Namun ia tidak menghalang Tutus yang telah pun mengeluarkan pelan seterusnya, iaitu wain Karagul.

    “Wujudnya pasaran yang besar di luar Istanbul. Segala-galanya adalah mengenai bunga mawar Isparta. Kenapa tidak berlaku yang sama di sini,” katanya.

    Keistimewaan bunga mawar hitam tidak diketahui secara mendadak.

    Penduduk tidak memberikan tumpuan atau tidak ambil peduli mengenai kewujudan bunga tersebut, kata seorang pegawai tempatan yang bertanggungjawab memelihara bunga tersebut.

    “Bunga-bunga ros boleh dilihat di merata tempat dalam taman namun tidak ada sesiapa yang memberikan perhatian kepada mereka,” kata kawannya yang hanya memberikan namanya sebagai Bulent.

    “Penduduk tempatan tidak mempunyai idea bahawa bunga ros adalah unik. Kami memindahkan sesetengahnya ke tanah lebih tinggi dan memulakan penanaman dan penghasilan dalam rumah hijau,” ujar pegawai itu, yang enggan memberikan namanya.

    Di tanah tinggi Halfeti, sebuah rumah hijau yang dikendalikan oleh jabatan pertanian bandar menjadi tempat penanaman kepada 1,000 bunga mawar.

    Namun penduduk bandar berganding bahu untuk menyelamatkan bunga mawar selepas sebuah empangan di Sungai Euphrates membanjiri kawasan di sana pada awal tahun 2000, justeru mengancam menimbus kesemua bunga sama seperti puluhan tapak arkeologi dari kawasan kuno Mesopotamia.

    Pembinaan empangan Birecik pada tahun 2000 adalah sebahagian daripada beberapa siri projek pembangunan yang kontroversi di tenggara Turki.

    Hari ini, 20 jenis spesies mawar hitam telah dikenal pasti di seluruh dunia – termasuk enam belas jenis di Turki, menurut ahli botani Ali Ikinci.

    “Karagul bukan spesies endemik di Halfeti,” kata Ikinci, profesor di Universiti Harran di wilayah Sanliurfa.

    “Namun isu ekologi, iklim dan tanah-tanih menyebabkannya berbunga lebih hitam di sana.

    “Sekiranya awda menanam bunga mawar di kawasan lain, warnanya tidak segelap atau sehitam seperti mawar di sini,” katanya.

    Profesor itu menegaskan bunga mawar Halfeti adalah amat ‘unik’.

    Warna mawar akan menjadi semakin gelap dan baunya lebih kuat ketika bunga-bungaan berkenaan berpindah dari Sanliurfa – tempat Halfeti – ke Syria, yang terletak 60 kilometer ke selatan, menurut Ikinci.

    Pegawai Halfeti menjelaskan bunga mawar berkembang mekar di tanah lebih tinggi disebabkan tanah-tanih yang berdekatan dengan empangan adalah lebih berasid disebabkan air dari sungai Euphrates.

    Ikinci percaya Karagul mungkin berasal dari bunga mawar hitam ‘Louis XIV’, ditanam di Perancis pada tahun 1859 dan dinamakan sempena raja Perancis itu.

    Namun bagi Frederic Achille, penolong pengarah Taman Botani di Muzium Sejarah Asli di Paris, ia hanyalah sesuatu yang remeh.

    ‘Louis XIV’ mungkin boleh berubah disebabkan air Euphrates serta komunikasi palsu,” katanya sambil tersenyum.

    Halfeti juga menjadi tempat penanaman bunga ros hijau unik yang kelihatan seperti rumpai, tetapi ia nampak benar dan bukan hanya diubahsuai secara digital oleh pengguna Instagram.

    “Bunga itu masih bersifat misteri. Sesetengah penduduk tempatan menanamnya dalam kebun mereka.

    “Namun disebabkan ia tidak mempunyai bau, ia gagal menarik tumpuan,” kata Ikinci.

    Achille bersikap lebih terus-terang mengenai sebabnya: “Rupa mawar kelihatan agak hodoh.”

    Bunga hijau itu ‘hanya menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kebun mawar’ selepas ia diperkenalkan di Eropah pada 1856 oleh tapak semaian British, tambahnya.

    Namun ia tidak menghalang Halfeti daripada mengambil kesempatan ke atas khazanahnya yang tersembunyi.

    Berdekatan empangan, beberapa pekebun amatur mempromosi mawar hitam kepada pelancong dalam bot persiaran untuk melawat gua-gua di sana, kini berada di bawah permukaan air. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...