Keunikan pertembungan budaya pada seni bina masjid di Melaka

MELAKA – Mereka yang pernah berkunjung ke Melaka, di Malaysia, negeri yang menyimpan begitu banyak khazanah sejarah pastinya akan dapat melihat pelbagai bentuk seni bina bangunan termasuk masjid yang begitu unik rekaan bumbung dan menaranya.

Pembinaan kubah berbentuk separuh sfera tidak digunakan dalam asas pembinaan masjid di negeri ini pada masa itu, sebaliknya digantikan dengan asas bumbung bertingkat tiga yang lebih dikenali sebagai bumbung meru.

Sementara menara berbentuk pagoda pula jelas mempamerkan hasil pengaruh seni bina Cina. Melaka yang gah sebagai pusat perdagangan antarabangsa pada sekitar abad ke-15 menjadi tumpuan pedagang dari timur dan barat termasuk dari negara China.

Justeru, pertembungan budaya antara masyarakat Melayu dan Cina turut menghasilkan satu seni bina yang menarik termasuk dalam bidang pertukangan dan pembinaan bangunan serta rumah ibadat atau masjid untuk penganut agama Islam. Pengaruh pertukangan masyarakat Cina

Antara masjid yang sering dijadikan rujukan untuk pembinaan rumah ibadat umat Islam di Melaka ialah Masjid Kampung Hulu, Masjid Tengkera dan juga Masjid Kampung Keling, antara masjid yang tertua di negeri berkenaan.

Masjid Kampung Hulu yang berusia kira-kira 300 tahun mempunyai seni bina kubah berbentuk pagoda yang jelas mempamerkan hasil pengaruh seni bina Cina terletak di Jalan Kampung Hulu. – Bernama
Mahkota puncak masjid sebagai tingkat paling atas yang mana merupakan unsur simbolik peng-hubung antara masjid dan alam sejagat dengan tuhan penciptaNya. – Bernama
Masjid Kampung Keling (Bandar Melaka) merupakan salah sebuah dari tujuh buah masjid yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. – Agensi
Masjid Lama Machap yang terletak di Alor Gajah juga merupakan masjid yang memiliki bentuk seni bina bangunan dan rekaan bumbung yang begitu unik. – Agensi

Persamaan yang ada daripada sudut seni bina pada ketiga-tiga masjid berkenaan mengukuhkan lagi fakta bahawa sememangnya wujud pengaruh pertukangan masyarakat Cina yang datang berdagang ke Melaka ratusan tahun lepas dalam asas pembinaan masjid.

Menariknya, pembinaan masjid ini juga menggunakan jubin seramik dan jubin lantai dari kerajaan China Dinasti Ching dan dengan menggunakan faktor alam semula jadi dalam ukiran seperti yang ada di Masjid Kampung Hulu.

Imam dua Masjid Kampung Hulu, Zawawi Md Hanafi, 47, memberitahu Bernama, setiap daripada lapisan bumbung dan juga struktur binaan Masjid Kampung Hulu yang berusia kira-kira 300 tahun membawa maksudnya yang tersendiri.

“Tapak masjid yang membawa maksud sebagai syariat, bumbung pertama sebagai tarekat, bumbung kedua sebagai hakikat dan bumbung ketiga sebagai makrifat dan diakhiri dengan mahkota puncak masjid sebagai tingkat paling atas yang mana merupakan unsur simbolik penghubung antara masjid dan alam sejagat dengan tuhan penciptaNya.

“Setiap struktur binaan pintu ke ruang solat pula bermaksud lima rukun Islam manakala enam jendela masjid membawa maksud enam rukun iman dan satu mimbar memberi maksud Tuhan Yang Satu,” katanya ketika diwawancara.

Antara kelainan reka bentuk

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, antara kelainan lain yang ada pada masjid ialah reka bentuk segi empat sama sebagai tapak, atap bumbung meru tiga tingkat serta empat batang tiang seri utama sebagai sokongan untuk puncak mahkota di atasnya.

Masjid berkenaan dibina dengan menggunakan kayu berkualiti tinggi dan bumbungnya dihadapkan ke arah kiblat manakala di bahagian belakang pula dibina sebuah kolah sebagai tempat untuk mengambil wuduk.

“Selain itu, bahan binaan untuk mahkota puncak Masjid Kampung Hulu dan juga sulur bayurnya dikatakan diperbuat daripada seramik. Ia amat menarik apabila bahan itu terbukti mampu bertahan selama ratusan tahun dan masih teguh berada di kedudukannya sehingga hari ini.

“Kebanyakan bahan binaan yang digunakan dalam pembinaan Masjid Kampung Hulu ialah penggunaan bahan asal seperti kayu berkualiti tinggi, mahkota yang diperbuat daripada kulit kerang dan siput, lantai terracotta dan banyak lagi bahan yang kini sukar untuk diperoleh bagi tujuan baik pulih,” katanya.

Rujuk MAIM, PERZIM untuk kekalkan keaslian seni bina masjid

Bagaimanapun, Zawawi berkata, agak sukar untuk menjaga dan mengekalkan masjid tersebut kerana perbelanjaan untuk baik pulih serta penambahbaikan menelan kos yang tinggi.

“Kita terpaksa merujuk kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai proses baik pulih masjid ini,” katanya. Sementara itu, Penolong Kurator Perzim Fairus Mamat berkata, Kerajaan Persekutuan mewartakan tujuh buah masjid di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Masjid-masjid itu adalah Masjid Kampung Hulu (Kota Melaka), Masjid Tengkera (Tengkera), Masjid Kampung Keling (Bandar Melaka), Masjid Lama Machap (Alor Gajah), Masjid Serkam Pantai (Merlimau), Masjid An Nur (Bukit Peringgit) dan Masjid Laksamana Hang Tuah (Duyong).

Beliau berkata, selain itu, terdapat 56 buah masjid lain yang diwartakan sebagai masjid warisan dan dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka. Kebanyakan reka bentuk masjid warisan berkenaan adalah sama antara satu sama lain, dan sekurang-kurangnya berusia lebih 50 tahun.

“Perzim sentiasa berusaha untuk memulihara masjid warisan menggunakan teknologi pemilihan bahan yang berkualiti yang hampir sama dengan bahan asal agar keaslian rupa bentuknya dapat dikekalkan untuk tatapan generasi masa hadapan.

“Bagaimanapun, bagi masjid yang berada di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, Perzim sering menjalankan pemantauan yang ketat agar keadaannya terjaga dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Fairus, seiring perkembangan dakwah Islam yang semakin meluas, terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan seni bina masjid warisan berkenaan dan atas desakan ramai, kebanyakan masjid baharu terpaksa dibina tanpa berpandukan tradisi lama.

Beliau menambah, seni bina lama termasuk ukiran juga tidak dapat diteruskan kerana kekurangan tenaga mahir orang lama,memandangkan ia memerlukan penelitian yang tinggi. – Bernama