Oleh Afiq Zainuddin –
Laksa Sarawak adalah hidangan tradisional yang berasal dari negeri Sarawak, Malaysia. Ia terkenal kerana kuahnya yang kaya, berempah dan mempunyai rasa unik yang membezakan ia daripada jenis laksa lain di Malaysia, seperti Laksa Penang atau Laksa Johor dan hidangan ini merupakan salah satu hidangan yang digemari ramai.
Kuah laksa Sarawak menggabungkan rempah khas, santan, pes udang, dan sedikit bahan tambahan seperti asam jawa. Rasanya kaya, berkrim dan sedikit pedas tetapi tidak terlalu menyengat. Laksa Sarawak biasanya menggunakan mi bihun (beras) sebagai asas. Ia dihidangkan dengan ayam yang dicarik, udang, tauge, hirisan telur dadar dan daun ketumbar sebagai hiasan.
BAHAN-BAHAN
Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat laksa Sarawak terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu bahan untuk membuat kuah laksa, untuk hiasan dan untuk hidangan utama.
Bahan yang diperlukan untuk membuat kuah laksa adalah seperti 200g pes laksa Sarawak yang boleh didapati di pasar raya atau kedai runcit, 400ml santan pekat, air, 200g udang yang direbus kemudian dikupas kulitnya, 300g ayam yang direbus dan dicarik isinya, 2 sudu besar minyak masak, garam dan gula secukup rasa.
Manakala bahan-bahan yang diperlukan untuk hiasan adalah seperti dua biji telur yang didadar nipis dan dihiris halus, tauge, daun ketumbar atau daun sup yang dihiris halus, hirisan limau kasturi, sambal belacan untuk hidangan sampingan. Dan bahan yang diperlukan untuk hidangan utama adalah seperti 300g mihun yang direndam dan dicelur.
CARA PENYEDIAAN
Cara penyediaannya pula untuk menyediakan kuah laksa, mula-mula panaskan minyak dalam periuk dan tumis pes laksa Sarawak hingga naik bau dan pecah minyak. Kemudian tambahkan air ke dalam periuk, masukkan kulit dan kepala udang yang telah direbus untuk menambah rasa kuah. Masak hingga mendidih, kemudian tapis untuk membuang bahan pepejal.
Selepas itu masukkan santan ke dalam kuah yang telah ditapis. Kemudian kacau perlahan-lahan dan pastikan kuah tidak pecah minyak. Setelah itu tambahkan garam dan gula secukup rasa. Masak kuah hingga pekat sedikit kemudian tutup api.
Manakala cara menye-diakan hidangan utama pula, rendam mihun dalam air panas hingga lembut, kemudian toskan. Setelah itu celur tauge dalam air panas selama beberapa saat dan toskan. Untuk penyediaan telur dadar pula, mula-mula pukul telur dan masak dadar nipis kemudian hiris dadar menjadi jalur halus untuk hiasan.
Cara untuk menghidangkan laksa Sarawak pula, mula-mula susun mihun dalam mangkuk, tambahkan isi ayam, udang, tauge dan hirisan telur selepas itu tuangkan kuah laksa yang panas ke dalam mangkuk. Hiaskan dengan daun ketumbar, limau kasturi dan sambal belacan di tepi.
Sebagai tip tambahan pula, gunakan stok udang atau ayam rebusan untuk meningkatkan lagi rasa kuah, pastikan kuah sentiasa dikacau perlahan untuk mengelakkan santan pecah dan ia sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba.
BAHAN-BAHAN
Untuk Kuah Laksa
• 200g pes laksa Sarawak (boleh didapati di pasaraya atau kedai runcit).
• 400ml santan pekat.
• 1.5 liter air.
• 200g udang (direbus, kemudian kupas kulitnya).
• 300g ayam (direbus dan dicarik isi).
• 2 sudu besar minyak masak.
• Garam dan gula secukup rasa.
Untuk Hiasan
• 2 biji telur (didadar nipis dan dihiris halus).
• Tauge (dicelur).
• Daun ketumbar atau daun sup (dihiris halus).
• Hirisan limau kasturi.
• Sambal belacan (untuk hidangan sampingan).
Untuk Hidangan Utama
• 300g bihun (direndam dan dicelur).