Keunikan sajian lamprei gamit pelancong ke Latvia

SALACGRIVA, LATVIA – Di sebuah kawah menggelegak di tebing sungai berhampiran pantai Baltik Latvia, barisan panjang pelawat yang tidak sabar-sabar untuk merasa masakan istimewa tempatan – ikan seakan-akan belut berparasit, iaitu lamprei.

Haiwan itu, yang makan dengan melekap badannya pada ikan hering dan menghisap darah ikan tersebut, merupakan makanan popular pada satu ketika dulu pada Zaman Pertengahan tetapi tidak lagi popular di kebanyakan kawasan Eropah.

Namun di Latvia, ikan tersebut masih berharga dan dirai semasa perayaan tempatan.

“Apabila disalai atau direbus dalam sup, lamprei mempunyai rasa yang unik,” kata Laura Berzina, ketika menghadiri salah satu pesta musim luruh di bandar Salacgriva.

Berzina berkata dia telah berkunjung kira-kira 100 kilometer bersama keluarganya untuk merasa lampei berkenaan.

Pengunjung berjalan di laluan penangkapan ikan lamprei juga bergelar tacis di sungai Salaca semasa pesta ikan Lamprei di Salacgriva, Latvia. – AFP
Ikan lamprei sedia untuk dipanggang semasa pesta ikan Lamprei di Salacgriva, Latvia. – AFP
Orang ramai menunggu ikan lemprei panggang semasa pesta yang diadakan di Salacgriva. – AFP
Aleksandrs Rozensteins bergambar bersama jaring ikan lamprei semasa pesta tersebut. – AFP
Sup ikan lamprei disajikan semasa pesta berkenaan. – AFP

Bagi Nataliya Alexandrova, seorang akauntan bersara dari Riga, “Saya dilahir di Rusia tetapi menetap di Latvia telah mendorong saya menghargai makanan sungguh istimewa ini.”

Sekilo lamprei di pasar raya biasa di Latvia berharga sehingga 30 euro – hampir empat kali lebih mahal daripada sekilo daging.

Menurut BIOR, institut keselamatan makanan dan kesihatan haiwan di Riga, kira-kira 50 tan lamprei ditangkap setiap tahun di Latvia.

Meskipun menjadi parasit yang memakan mangsa ikan air tawar, lamprei berjaya menambat hati dan menjadi simbol rasmi bandar pantai di negara anggota Kesatuan Eropah dengan 1.9 juta populasi itu.

Suruhanjaya Eropah malah telah memasukkan ikan lamprei dalam senarai produk makanan dan minuman dengan ‘asal-usul dilindungi’ sama seperti champagne Perancis dan keju feta Greece.

Di Britain, lamprei mempunyai hubungan yang kukuh dengan keluarga diraja. Kesukaan memakan lamprei dipercayai telah menjadi punca kematian Raja Henry 1 di England pada tahun 1135.

Pai lamprei bagaimanapun masih dihidangkan sehingga hari ini untuk pemimpin-pemimpin negara.

Lamprei menetas dalam sungai yang mengalir ke Laut Baltik, seterusnya berpindah untuk memakan ikan dan pada lazimnya ditangkap apabila ia kembali ke sungai selepas tujuh atau lapan tahun untuk mengawan.

Nelayan menggunakan jaring yang dipasang pada pembinaan kayu sementara dipanggil ‘tacis’ – titian jalan kaki yang dibuat daripada bum kayu dan papan yang merentasi sungai.

“Setiap musim bunga, apabila ais di sungai mencair, kami membina semula tacis,” beritahu Alaksandrs Rozenshteins, pemilik syarikat penangkapan ikan lamprei khas, kepada AFP.

Hasil tangkapan biasanya tiba apabila ribut musim luruh mendorong ikan lamprei keluar dari laut dan kembali semula ke sungai.

Sejak lamprei hanya bergerak pada waktu malam, nelayan memeriksa jaring mereka pada pagi.

“Ia mungkin berbeza daripada tidak ada hasil tangkapan langsung atau hanya beberapa kilo sehingga beberapa ratus kilo,” kata Rozenshteins.

‘Tacis’ seterusnya dirobohkan untuk musim sejuk.

Mengikut undang-undang, jaring hanya menutup dua pertiga daripada kelebaran sungai untuk membenarkan kehidupan lain dalam sungai bergerak bebas.

Satu-satunya perbezaan sekarang daripada tradisi penangkapan ikan sebelum ini adalah penggunaan jaring yang dikeluarkan di kilang dan bukannya perangkap yang dibuat daripada dahan pokok fir.

“Tanpa mengambil kira sama ada lamprei disalai, digril atau direbut dalam kawah, kami mengekalkan kesemua proses penangkapan ikan dan memasak sama seperti beberapa abad lalu,” kata Rozenshteins. – AFP