YANGON – Bunga Padauk yang berwarna kuning kelihatan berkembang mekar di sekitar bandar raya ini di mana ia secara tidak langsung turut menandakan ketibaan acara tradisi di Myanmar, Thingyan atau festival air.
Bulan April memang cukup sinonim dianggap sebagai waktu sesuai untuk bunga tersebut berkembang mekar sekali gus ia juga turut menandakan ketibaan bulan Tagu yang merupakan bulan pertama dalam kalendar tahunan di Myanmar.
Pada waktu ini, bunga Padauk yang berwarna kuning terang jelas dapat kelihatan menyerikan suasana di seluruh bandar raya tersebut.
Festival air atau Thingyan merupakan salah satu tradisi tahunan di Myanmar yang turut mempunyai persamaan dengan festival di beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Songkran di Laos dan Thailand serta Chaul Chnam Thmey di Kemboja.
Malah acara yang serupa turut diraikan oleh etnik Dai di wilayah Yunan, China.


Daripada 12 festival perayaan mengikut musim di Myanmar yang diraikan sepanjang tahun ternyata Festival Thingyan merupakan antara perayaan yang paling meriah disambut kerana ia dipercayai dapat membawa keamanan dan kemakmuran kepada masyarakat.
Sambutan acara ini juga secara tidak langsung turut melambangkan keunikan dan keindahan budaya dan tradisi Myanmar itu sendiri.
Antara aktiviti yang dilakukan di sepanjang festival tersebut adalah setiap individu akan menyiram air terhadap individu lain di mana ia dipercayai dapat menghapuskan dosa atau kembali menyucikan diri daripada sebarang kesalahan yang dilakukan sepanjang tahun lalu.
Perayaan Thingyan pada tahun ini diraikan bermula pada 13 April dan berlanjutan selama seminggu di mana acara kemuncaknya pula dijangka bakal diraikan pada 17 April.
Pada kebiasaannya, setiap individu yang bersiar-siar di sekitar bandar raya tersebut pada waktu ini akan terkena siraman air yang secara tidak langsung turut membasahkan diri mereka.
Menurut pihak berkuasa sebanyak 63 hos yang menyalurkan air sekaligus membasahi individu telah disediakan di sekitar bandar raya Yangon.
Lebih menarik lagi beberapa acara istimewa yang disambut bersempena dengan Festival Thingyan turut dianjurkan oleh kerajaan serantau Yangon yang biasanya diadakan di Dewan Bandaraya Yangon, Taman Maha Bandoola, Taman Kandawgyi Myay Padaythar, Taman Kandawgyi dan Taman Thakin Mya.


Selain menyiram air, pelbagai persembahan hebat merangkumi tarian tradisi Myanmar yang dipersembahkan mengikut alunan muzik tradisi juga turut berjaya menghiburkan hati setiap para pengunjung.
Seperkara yang penting adalah pihak berkuasa serantau juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan sewaktu festival tersebut dianjurkan bagi memastikan ia sentiasa berjalan dengan lancar.
Di samping berhibur, konsep amalan pemberian juga dapat dilihat melalui penganjuran festival ini apabila hidangan tradisional mote lone yay paw atau bebola nasi yang diperisakan dengan gula turut diberikan.
Makanan tradisi tersebut biasanya diberikan kepada setiap individu yang bersiar-siar di sekitar bandaraya tersebut di mana amalan mulia tersebut dikenali sebagai Satuditha.
Sewaktu festival itu, masyarakat yang beragama Buddha juga akan berkunjung ke pagoda dan biara bagi melakukan ritual agama termasuk meditasi.
Manakala golongan muda pula seringkali berkunjung ke rumah orang–orang tua bagi melakukan kerja-kerja kebajikan seperti membantu mereka membersihkan diri, memotong kuku dan turut menyisir rambut mereka. – Xinhua