Keuntungan Aramco merosot

RIYADH, 9 OGOS – Syarikat tenaga gergasi milik Arab Saudi, Saudi Aramco hari ini berkata keuntungan bersihnya untuk suku kedua menjunam 73 peratus disebabkan oleh harga minyak yang turun secara mendadak ketika krisis koronavirus mengatasi permintaan global.

Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih AS$6.6 bi-lion untuk tiga bulan hingga 30 Jun, berbanding AS$24.7 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

“Faktor krisis pandemik kini telah mengurangkan permin-taan dan harga minyak yang lebih rendah ditunjukkan dalam hasil suku kedua kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Amin Nasser dalam satu kenyataan.

Keuntungan bersih Aramco untuk separuh pertama tahun ini juga merosot sebanyak 50 peratus kepada AS$23.2 bilion, berbanding AS$46.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar di dunia, telah terkesan akibat kenaikan harga rendah dan penurunan mendadak dalam pengeluaran, sekali gus memberikan kesan buruk kepada pendapatan sektor minyak.

Gambar fail pada 12 Disember 2019 menunjukkan saham Aramco pada hari kedua perdagangan dipaparkan di skrin gergasi di Riyadh. Aramco berkata keuntungan bersihnya untuk suku kedua menjunam 73 peratus disebabkan oleh harga minyak yang turun secara mendadak ketika krisis koronavirus. – AFP

Harga minyak turun ke paras terendah dua dekad di bawah AS$20 setong pada bulan April dan Mei ketika pandemik koronavirus mengurangkan permintaan, sebelum kembali menjadi sekitar AS$44 setong setelah pengeluar OPEC+ bersetuju untuk melakukan pengurangan pengeluaran.

Berikutan langkah itu, pengeluaran minyak Saudi turun menjadi 7.5 juta tong sehari pada bulan Jun, berbanding tahun lalu sebanyak 10 juta barel sehari. Keuntungan Aramco juga dipengaruhi oleh kerugian yang dicatatkan oleh Saudi Basic Industries Co. (SABIC), syarikat gergasi petrokimia yang diperolehnya dengan harga AS$69 bilion dalam perjanjian yang disepakati pada tahun 2019 dan diselesaikan pada bulan Jun tahun ini.

Aramco disenaraikan di bursa Arab Saudi pada bulan Disember berikutan permulaan tawaran awam terbesar di dunia, menjana AS$29.4 bilion dalam penjualan sebanyak 1.7 peratus sahamnya.

“Walaupun COVID-19 telah menjejaskan perekonomian dunia, tetapi Aramco terus beroperasi,” katanya.

Syarikat teknologi AS Apple minggu lalu menggantikan Aramco sebagai syarikat paling berharga di dunia setelah permodalannya meningkat menjadi AS$1.9 trilion, berbanding AS$1.76 trilion untuk Aramco. – AFP