KUALA LUMPUR, 9 MAC – Top Glove Corporation Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah iaitu susut sebanyak 97 peratus kepada RM87.55 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022 daripada RM2.87 bilion pada setahun sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, peneraju pengeluar sarung tangan global itu berkata perolehan hasil turut merosot 73 peratus kepada RM1.45 bilion berbanding RM5.37 bilion sebelum ini.
Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2022, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih seba-nyak RM273.27 juta berbanding RM5.23 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya manakala hasil berkurangan kepada RM3.03 bilion daripada RM10.12 bilion. “Prestasi kewangan lebih rendah itu disebabkan oleh normalisasi purata harga jualan (ASP) yang menghampiri paras sebelum pandemik. Harga bahan mentah secara amnya menyaksikan aliran penurunan pada kadar lebih perlahan berbanding ASP yang menyebabkan berlakunya mampatan margin,” katanya.
Menurut Top Glove, kumpulan itu juga perlu berdepan kenaikan kos operasi lain termasuk utiliti, pekerja dan bahan kimia selain persaingan sengit dengan bekalan sarung tangan baharu menyebabkan tekanan harga susulan kejayaan pelaksanaan usaha pemberian vaksin COVID-19 di peringkat global.
Bagaimanapun, jumlah jualan mencatat peningkatan ketara dalam suku di bawah kajian itu berbanding suku pertama 2022 susulan tindakan pelanggan meneruskan aktiviti peningkatan semula stok sarung tangan ketika ASP menghampiri paras sebelum pandemik.
Setakat 28 Februari lalu, kumpulan itu mengekalkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM656 juta manakala aset bersih bernilai RM6.95 bilion.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata Top Glove telah memberi prestasi kewangan yang luar biasa sejak dua tahun lepas.
“Walaupun prestasi suku kedua tahun kewangan 2022 ini tidak seperti yang kami harapkan, ia sememangnya dijangkakan apabila pandemik semakin reda dan keadaan ini menjadi sebahagian daripada kitaran perniagaan.” – Bernama