Keuntungan BMW meningkat AS$3 bilion

FRANKFURT, 3 NOV – Pengeluar kereta mewah Jerman BMW berkata hari ini ia berjaya mencatat peningkatan dalam keuntungan dalam suku ketiga, meskipun kekurangan dalam cip komputer global yang membelenggu kebanyakan industri.

“Kumpulan BMW terus menunjukkan tahap tinggi keuntungan dalam tempoh Julai hingga September 2021, dengan pendapatan, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih kesemuanya mencecah jumlah rekod untuk suku ketiga,” kata pengeluar kereta itu dalam satu kenyataan.

BMW berkata keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 42 peratus kepada 2.6 bilion euro (AS$3 bilion) dalam tempoh Julai hingga September, walaupun ketika jualan unit merosot 12 peratus kepada 593,200 kenderaan.

Seperti pengeluar kereta lain, hantaran BMW kepada pelanggan terjejas oleh kekurangan semikonduktor, komponen elektronik utama yang digunakan dalam kenderaan biasa dan elektrik.

Kekurangan bekalan cip dijangka ‘berlarutan selepas 2021,’ kata ketua pegawai kewangan Nicolas Peter.

BMW menyumbang ‘prestasi kukuhnya’ dalam suku ketiga kepada ‘gabungan faktor produk yang memberangsangkan dan kesan harga positif untuk kenderaan baharu, serta harga jualan yang stabil untuk kenderaan terpakai.’ Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, BMW berkata ia menambah dua kali ganda hantaran kenderaan elektrik sejak tahun lalu kepada hampir 60,000 unit.

Pengeluar kereta itu dijangka menghantar ‘dua juta kenderaan elektrik’ kepada pelanggan pada 2025 sebagai sebahagian daripada peralihannya daripada kenderaan menggunakan bahan api fosil. – AFP