Keuntungan, jualan Toyota meningkat

TOKYO, 7 NOV – Syarikat kereta Jepun Toyota hari ini melaporkan keuntungan bersih dan jualan tinggi untuk separuh tahun pertama, dengan usaha pemotongan kos membantu merangsang kunci kira-kiranya.

Pengeluar kereta sedan Camry dan hibrid Prius itu melaporkan keuntungan bersih meningkat 2.6 peratus kepada 1.27 trilion yen dalam tempoh April hingga September.

Syarikat itu mengekalkan ramalan keuntungan bersih tahun penuhnya pada 2.15 trilion yen dan keuntungan operasi pada 2.4 trilion yen berdasarkan jualan 29.5 trilion yen, walaupun ia membuat perubahan kecil kepada ramalannya untuk keuntungan sebelum cukai. Faktor pengurangan kos dan pemasaran membantu mengatasi kesan negatif daripada kadar tukaran mata wang asing, menyumbang kepada kenaikan 11.3 peratus dalam keuntungan operasi, atau 1.4 trilion yen untuk enam bulan hingga September, kata Toyota dalam satu kenyataan.

“Hasil usaha kami untuk mempertingkat diri kami, ramai pelanggan memilih kenderaan Toyota. Keputusan terbaharu membuktinya,” kata naib presiden Toyota Mitsuru Kawai pada persidangan media. “Kami rasa bersyukur.” – AFP

Pegawai operasi Toyota Kenta Kon (kiri) dan naib presiden Mitsuru Kawai menghadiri sidang media untuk mengumumkan keputusan kewangan separuh tahun pertama syarikat di Tokyo, kelmarin. – AFP