Keuntungan Lego meningkat 140 peratus

COPENHAGEN, 28 SEPT – Lego mencatat keuntungan besar dalam separuh pertama 2021, didorong oleh permintaan kukuh dan pembukaan semula kedai, kata syarikat barang mainan gergasi Denmark hari ini.

Syarikat itu berkata keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 140 peratus kepada 6.3 bilion kronor (AS$989 juta) dalam enam bulan pertama tahun ini.

Seperti syarikat lain di seluruh dunia, Lego melihat kenaikan dalam jualan dalam talian semasa pandemik, meningkat 50 peratus dalam separuh tahun pertama berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Namun pengeluar barang mainan itu juga mengembangkan pusat runcit global ketika ia membuka lebih 60 kedai Lego baharu dalam enam bulan pertama 2021, dengan lebih 40 di antaranya terletak di China. Lego mempunyai 737 buah kedai, termasuk 291 di China setakat bulan Jun. “Prestasi kami didorong permintaan kukuh untuk portfolio kami, yang telah menarik pembina baharu terhadap jenama Lego,” menurut ketua eksekutif Niels Christiansen. – AFP