Keuntungan Microsoft meningkat

SAN FRANCISCO, 19 JULAI – Microsoft semalam mencatat pendapatan suku yang mengatasi jangkaan, memetik pertumbuhan dalam perkongsian dengan syarikat teknologi dan perkhidmatan komputer ‘cloud’.

Syarikat teknologi AS, beralih dalam beberapa tahun ini kepada perkhidmatan perniagaan daripada teknologi pengguna, melaporkan pendapatan bersihnya meningkat 49 peratus kepada AS$13.2 bilion berdasarkan hasil yang naik 12 peratus kepada AS$33.7 bilion.

Keuntungan Microsoft dalam suku keempat fiskal yang berakhir 30 Jun dibantu oleh faedah cukai berjumlah AS$2.6 bilion, menurut syarikat.

Keputusan menunjukkan ‘suku komersial paling kukuh’ untuk Microsoft, kata ketua pegawai kewangan Amy Hood.

Ketua eksekutif Satya Nadella berkata keputusan tersebut mengakhiri tahun fiskal untuk syarikat teknologi itu, yang mempunyai nilai pasaran terbesar untuk mana-mana syarikat pada lebih AS$1 trilion. “Ia adalah tahun fiskal rekod untuk Microsoft, hasil daripada perkongsian kami dengan syarikat terkenal dalam setiap industri,” kata Nadella.

Pendapatan bersih untuk tahun fiskal meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$39.2 bilion berdasarkan hasil yang bertambah 14 peratus kepada AS$125.8 bilion, menurut laporan pendapatan.

Saham Microsoft meningkat 1.4 peratus kepada AS$138.35 dalam perniagaan selepas pasaran berikutan pengeluaran angka pendapatan. – AFP

Gambar fail bertarikh 6 Mei menunjukkan CEO Microsoft Satya Nadella menyampaikan ucaptama di Build, persidangan tahunan syarikat untuk pemaju perisian di Seattle. – AP