Keuntungan, penjualan Iphone merosot

BERKELEY, 1 MEI – Keuntungan Apple menurun sedikit sementara pendapatan meningkat pada suku Januari hingga Mac, mencerminkan kesan sampingan awal akibat wabak koronavirus yang telah menutup kilang mereka dan memaksa ratusan kedai Apple ditutup.

Keputusan yang dikeluarkan kelmarin telah memberikan petanda pertama bagaimana sebuah syarikat terkenal di dunia berkembang tatkala ekonomi Amerika Syarikat (AS) mengalami kemelesetan pertama dalam lebih satu dekad.

Ketua pegawai eksekutif Apple, Tim Cook berkata kemelesetan terkini mungkin lebih sukar bagi syarikat berbanding dengan yang dialaminya semasa Kemelesetan Besar 2007-2009, apabila pengguna masih tertarik dengan iPhone yang baru pada ketika itu.

Keadaan sekarang mewakili ‘persekitaran global paling mencabar yang pernah kami alami semasa mengendalikan perniagaan kami,” kata Cook.

Pendapatan Apple meningkat satu peratus dari tempoh yang sama tahun lalu kepada AS$58.3 bilion semasa suku kedua tahun kewangan syarikat. Ia tidak mengejutkan, iPhone adalah segmen paling teruk terjejas di syarikat, dengan penjualan peranti menurun tujuh peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Keuntungan Apple merosot kepada AS$11.2 bilion, penurunan 2 peratus berbanding tahun lepas. Syarikat tersebut memberitahu pelabur kelmarin bahawa jualan iPhone akan merosot seterusnya pada suku April hingga Jun.

Angka itu lebih baik daripada yang dijangka oleh penganalisis, yang meramalkan kemerosotan pendapatan sebanyak enam peratus. “Pelabur menjangkakan suku teruk,” kata penganalisis Wedbush Securities, Daniel Ives.

Kerisauan tersebut nampaknya berasas. Ini kerana rantaian bekalan Apple terjejas oleh wabak awal pandemik di China, yang telah memaksa syarikat menutup sementara kilang-kilang tempatan yang kebanyakannya menghasilkan iPhone dan produk lain.

Kilang-kilang di China telah dibuka dan beroperasi seperti biasa semula, tetapi penutupan telah mewujudkan kesan lanjutan yang dijangka akan menangguhkan pengeluaran model iPhone Apple yang akan datang selama sekurang-kurangnya satu bulan. Kedai Apple masih ditutup di kebanyakan tempat di seluruh dunia sebagai sebahagian usaha menyekat penularan COVID-19.

Apple berkata ia tidak akan mengeluarkan ramalan untuk suku akan datang. – AP

Keuntungan Apple merosot manakala pendapatan meningkat pada suku Januari hingga Mac. Tim Cook berkata kemerosotan mungkin lebih sukar bagi syarikat berbanding yang dialaminya semasa Kemelesetan Besar 2007-2009. – AFP