DUBLIN, 22 Okt – Keuntungan Ryanair untuk separuh tahun pertama sehingga September merosot tujuh peratus kepada 1.2 bilion euro, umum syarikat penerbangan tambang murah tersebut hari ini, selepas tindakan mogok oleh juruterbang dan krew kabin menjejas operasi.
Dalam satu kenyataan, firma Ireland itu mengekalkan anggaran keuntungan bersihnya untuk tahun kewangan sehingga Mac 2019 sebanyak 1.1 hingga1.2 bilion euro, merosot 12 peratus disebabkan dua mogok di seluruh Eropah yang memaksanya membatalkan beratus penerba-ngan.
Ryanair berkata ramalan yang dipotongnya pada awal bulan ini mencerminkan ‘kos minyak, kakitangan dan EU261 yang lebih tinggi’ merujuk kepada undang-undang EU yang mewajibkan pampasan penumpang dalam kes penangguhan atau pembatalan penerbangan.
“Sementara pendapatan sampingan mencatat prestasi kukuh, meningkat 27 peratus, ia dihapus oleh kos minyak, kakitangan dan EU261 yang lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ryanair, Michael O’Leary.
“Lalu lintas kami, yang berkali-kali terjejas oleh gangguan kawalan lalu lintas udara paling teruk pada musim panas, tumbuh enam peratus.”
Pendapatan sampingan termasuk pendapatan daripada makanan, minuman dan jualan dalam penerbangan, berkembang 27 peratus kepada 1.3 bilion euro dalam tempoh enam bulan sehingga September. – AFP
