Keuntungan Samsung meningkat 23 peratus

SEOUL, 7 JULAI – Samsung Electronics meramalkan peningkatan 23 peratus dalam keuntungan operasi untuk suku kedua hari ini, dengan permintaan kukuh dalam cip memori dan paparan mengatasi impak pandemik koronavirus ke atas jualan telefon pintar.

Pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia itu berkata dalam satu anggaran pendapatan bahawa ia menjangka keuntungan operasi berjumlah 8.1 trilion won untuk bulan April hingga Jun, meningkat daripada 6.6 trilion won dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ramalan itu adalah jauh melebihi kemerosotan satu digit yang diramalkan oleh penganalisis.

Sekatan yang dikenakan di seluruh dunia ketika berdepan pandemik koronavirus – terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat – telah merangsang perniagaan cip Samsung dengan pusat data bertindak menyimpan stok cip DRAM untuk memenuhi permintaan yang meningkat untuk aktiviti dalam talian.

“Pendapatan mengejutkan itu nampaknya datang daripada sektor cip Samsung,” kata Park Jin-suk dari firma pengawas pasaran Counterpoint, merujuk kepada ‘peningkatan permintaan untuk cip memori komputer dan pertambahan berterusan dalam harga cip DRAM.’

Pengunjung mencuba telefon pintar Galaxy Z Flip di kedai Samsung Electronic di Seoul, Korea Selatan kelmarin. – AP

Penjualan televisyen, yang telah lama merosot, ‘mula menunjukkan peningkatan tatkala orang ramai menghabiskan lebih banyak masa di rumah,’ kata James Kang, penganalisis firma Euromonitor International Korea.

Samsung menyumbang pertambahan keuntungan operasi kepada keuntungan yang diperoleh dari divisyen paparan, tanpa memberikan butir lanjut.

Syarikat meramalkan jualan keseluruhan dalam suku kedua akan merosot 7.3 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Firma itu ialah pengeluar telefon pintar terbesar dunia, menyumbang kepada 20 peratus daripada bahagian pasaran global pada suku pertama – di depan Huawei China dengan 17 peratus dan Apple 14 peratus, menurut Counterpoint.

Meskipun ramalan positif, saham Samsung Electronics merosot 2.9 peratus hari in, meninggalkan mereka 15 peratus lebih rendah daripada rekod yang dicatat pada Januari. – AFP