Kewajipan mencintai Rasulullah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Buat julung kalinya, ahli Jawatankuasa Takmir Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) telah mengadakan ceramah sempena memeriahkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW secara maya menggunakan kaedah aplikasi zoom.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa memohon keselamatan daripada bala dan segala jenis penyakit yang dibacakan oleh Imam Surau MTSSR, Awang Mohd Helmy bin Haji Jamil.

Ceramah kemudian disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Awang Mohammad Nasyith bin Superi dengan tajuk ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’.

Dalam ceramahnya, Awang Mohammad Nasyith menyentuh mengenai kewajipan untuk mencintai Rasulullah SAW yang mana ia bukanlah satu pilihan malahan sebagai satu kemestian dalam menandakan kesempurnaan iman.

“Mencintai Baginda merupakan tanda kesempurnaan iman sebagaimana sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud, ‘Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu, hingga aku (Rasulullah SAW) lebih dikasihi daripada ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya’, hadis riwayat Bukhari,” ujarnya.

Menurutnya, seseorang yang mengatakan cinta kepada sesuatu, belum cukup kuat buktinya sehingga dia berusaha untuk memilikinya.

“Namun apabila dia menyatakan cinta dan minatnya dengan cara berusaha mencari sumber pengetahuan yang mendalam tentang segala kelebihan dan kebaikan sesuatu tersebut sebagai contoh seperti gajet terbaharu yang hangat sekarang ini, maka akan menguatkan lagi usahanya untuk sanggup berkorban tenaga, masa dan wang ringgit untuk memilikinya.

“Begitulah halnya tentang rasa cinta kita terhadap Rasulullah SAW. Mustahil datang rasa cinta tanpa kita kenal peribadi, sirah perjuangan dan pengorbanan Baginda SAW,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tanda-tanda kita mencintai Nabi Muhammad SAW juga ialah dengan mengamalkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. 

Haji Amir Hisham ketika menyertai Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW anjuran AJK Surau MTSSR.