(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Satu
Perkataan nafkah merupakan perkataan yang juga digunakan dalam Bahasa Arab.
Perkataan nafkah dalam Bahasa Arab diambil daripada perkataan al-infaq. Dari segi bahasa ia bermaksud pengeluaran dan habis. Maksud daripada menafkahkan, iaitu menghabiskan atau menggunakan sesuatu itu hanyalah pada perkara kebaikan. Pensyariatan nafkah adalah berdasarkan firman Allah, hadis Rasulullah dan juga ijma‘ para Sahabat r.a..
Pengertian nafkah
Nafkah ialah perbelanjaan yang wajib diberikan daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya.
Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh al-Qur’an sebagaimana firman Allah yang tafsirnya :
“Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum (ar-rizq) dan pakaian mereka dengan cara yang patut (al-ma‘ruf). Seseorang tidak dibebani lebih dari kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 233)
Menurut tafsir al-Mawardi “ar-rizq” bermaksud makanan secukupnya dan perkataan “al-ma‘ruf” ialah tidak terlampau kikir dan tidak pula berlebihan. Ayat ini menjelaskan bahawa ketua keluarga adalah berkewajipan menyara hidup (memberikan nafkah) kepada orang-orang di bawah tanggungannya menurut kemampuannya.

Pembahagian nafkah
Ulama membahagikan nafkah kepada dua bahagian, iaitu nafkah diri sendiri dan nafkah terhadap orang lain. Dalam hal ini, seseorang hendaklah mendahulukan nafkah untuk dirinya sendiri berbanding nafkah kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah yang maksudnya :
“Mulailah (nafkah itu) dengan dirimu, maka nafkahkanlah ke atas dirimu, jika ada lebih, maka kepada isterimu, dan jika ada lebih daripada isterimu, maka berikanlah kepada kerabatmu.” (Hadis riwayat Muslim)
Antara faedah yang diperoleh daripada hadis yang disebutkan di atas ialah keutamaan dalam pemberian nafkah, iaitu hendaklah dimulai mengikut urutan yang telah disebutkan. Demikian juga dalam perkara pemberian hak-hak dan kebaikan, maka hendaklah mendahulukan yang lebih utama di kalangan mereka menurut urutan.
Nafkah terhadap orang lain
Selain menanggung nafkah diri sendiri, kadangkala seseorang itu juga menanggung nafkah orang lain. Menurut jumhur ulama, kewajipan nafkah terhadap orang lain terjadi disebabkan oleh tiga perkara, iaitu hubungan perkahwinan, hubungan kerabat dan hubungan milik (tuan terhadap hambanya). Fokus kita hanya akan menyentuh dua sebab sahaja daripada tiga sebab yang dinyatakan, iaitu kewajipan nafkah kerana hubungan perkahwinan dan hubungan kerabat. Penjelasan secara ringkas adalah seperti berikut:
1. Kewajipan nafkah disebabkan hubungan perkahwinan
a) Nafkah isteri
Kewajiban seseorang menanggung nafkah disebabkan perkahwinan atau dalam erti kata lain nafkah suami ke atas isteri adalah berdasarkan hukum syarak. Nafkah kepada isteri didahulukan daripada nafkah kepada anak, bapa dan ibu. (jika ada).
Ulama telah sepakat bahawa suami berkewajipan menanggung nafkah isteri apabila si isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Dalil dalam perkara ini antaranya firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.” (Surah ath-Thalaq: 7)
Manakala Rasulullah sebagai seorang suami dan bapa, menjadi contoh tauladan kepada umatnya dan Baginda juga telah mengingatkan tentang kewajipan nafkah di dalam khutbah Baginda ketika menunaikan haji Wada‘ yang maksudnya :
“Bertaqwalah kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambilnya sebagai amanah Allah dan telah menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak terhadap mereka iaitu mereka tidak boleh membiarkan orang lain yang tidak engkau sukai menempati tempat tidurmu, apabila mereka melakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukainya. Mereka berhak atasmu untuk meminta makan dan pakaian dengan baik”. (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas merupakan dalil yang jelas bahawa isteri-isteri wajib diberi nafkah oleh suami. Selain itu, para sahabat dan para tabi‘in (generasi selepas para sahabat) r.a. telah sepakat menyatakan bahawa suami wajib menanggung nafkah isteri.
Selain kewajipan suami menanggung nafkah isteri, terdapat kewajipan yang lain bagi suami terhadap isteri yang ditetapkan oleh syara‘ kerana hubungkaitnya dengan nafkah. Kewajipan tersebut ialah kewajipan mengeluarkan zakat fitrah isteri. Secara umum, hubungan di antara nafkah dengan zakat fitrah ialah siapa yang menanggung nafkah individu lain, maka dialah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah orang yang ditanggungnya itu. Bagaimanapun terdapat beberapa pengecualian dalam perkara ini sepertimana yang akan dijelaskan kemudian. Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah isteri melainkan dalam beberapa keadaan.
b) Nafkah isteri yang dalam ‘iddah
Isteri yang ber‘iddah kerana talak raj‘ie (talak satu atau dua), sama ada dia hamil ataupun tidak, maka wajib baginya seluruh nafkah daripada suaminya, yang berupa sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddahnya atau sehingga melahirkan anak dalam kandungannya.
Oleh yang demikian, zakat fitrah bagi isteri yang ditalak dengan talak raj‘ie yang tidak hamil dan belum tamat tempoh ‘iddahnya sebelum terbenam matahari pada malam ‘eid (hari raya) wajib dikeluarkan oleh suaminya. Jika suami mentalak isterinya setelah terbenam matahari akhir Ramadan (malam ‘eid), maka suami wajib mengeluarkan fitrah isteri yang ditalak itu.
Isteri yang ber‘iddah kerana talak ba’in (kerana talak tiga atau kerana khulu‘) yang tidak hamil, maka dia tidak menerima nafkah sara hidup dan pakaian dari (bekas) suami. Bagaimanapun isteri tersebut berhak tempat tinggal dan lauk pauk sepanjang tempoh ber‘iddah.
Oleh yang demikian, suami tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang ditalak dengan talak ba’in sekalipun tidak hamil. Ini kerana kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang ditalak ba’in telah gugur. Bahkan wajib bagi perempuan tersebut untuk mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya jika dia berkemampuan.
Isteri yang ber‘iddah kerana talak ba’in dan sedang hamil pula, menurut sepakat ulama diberikan nafkah dan tempat tinggal selama dalam tempoh kehamilan sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya dan disyaratkan anak dalam kandungan itu adalah keturunan daripada suami yang menceraikannya.
Oleh yang demikian, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang ditalak dengan talak ba’in yang sedang hamil.
Perkara ini bersabit daripada firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu se-suai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengan-dung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya;…” (Surah ath-Thalaq: 6 )
Isteri yang ber‘iddah kerana kematian suami, maka tiada nafkah baginya, tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal, sama ada hamil ataupun tidak.
c) Nafkah isteri yang nusyuz
Nafkah ke atas isteri yang nusyuz (yang ingkar perintah suaminya) tidak wajib ditanggung oleh suami. Oleh yang demikian, zakat fitrah bagi isteri yang nusyuz juga tidak wajib dikeluarkan oleh suami, bahkan wajib ke atas isteri tersebut untuk mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Sekiranya isteri tersebut kembali taat kepada suami sebelum terbenam matahari (pada malam ‘eid), ketika itu wajib atas suami mengeluarkan zakat fitrah isteri tersebut.
d) Nafkah isteri bagi suami yang tidak berkemampuan
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) mahupun seorang yang mu‘sir (susah).
Walau bagaimanapun tidak wajib bagi suami yang mu‘sir (susah) mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang berkemampuan (kaya), sekalipun isteri itu tidak berlaku nusyuz. Malahan sunat bagi isteri tersebut mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya.
Demikian juga bagi tanggungan-tanggungan yang lain (mereka yang ditanggung nafkahnya sedangkan orang yang menanggung nafkahnya itu seorang yang susah), maka sunat baginya mengeluarkan sendiri zakat fitrah dirinya jika yang menanggungnya itu tidak mengeluarkannya.