Kewibawaan dan kedaulatan raja pemangkin kejayaan

Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H. & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Daerah Brunei dan Muara mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema, Raja Tersohor Kegemilangan Rakyat, bersempena dengan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Tema persembahan berkisarkan kedaulatan dan kewibawaan raja dalam membangun bangsa dan negara untuk mencapai wawasan negara 2035. Persembahan pentas khas berkenaan mempamerkan empat segmen di mana ia melibatkan penyertaan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada belia-belia aktif dan gabungan sekolah rendah dan sekolah menengah.

Segmen pertama, Menjunjung Kasih, menggambarkan belia-belia yang berwawasan dalam memeriahkan suasana ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena jubli intan ke-75 di mana persembahan nyanyian serta tarian dalam irama zapin diciptakan khas untuk Baginda.

Segmen kedua, Kegemilangan Raja, menggambarkan kedaulatan raja yang telah mampu mewujudkan kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan di kalangan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam. Melalui karisma, kedaulatan serta kewibawaan seorang pemimpin sejati telah mewujudkan semangat yang tinggi di kalangan rakyat serta penduduk sehingga mampu memperlihatkan serta mempamerkan kejayaan mereka anak bangsa yang sama-sama berjuang menegakkan negara ke arah puncak kegemilangan di mana ia melibatkan seramai 40 orang peserta belia dan kumpulan koir dan kumpulan acapella yang menyanyikan lagu diciptakan khas.

Segmen ketiga, Raja Berkarisma, mempersembahkan gabungan pemuzik veteran, penyanyi belia dan penyanyi kanak-kanak yang akan mempersembahkan nyanyian yang menarik sempena hari keputeraan Baginda Sultan.

Segmen keempat, Raja Tersohor Kegemilangan Rakyat, mempersembahkan bicara berirama berkumpulan dari sekolah rendah seramai 20 orang yang menggambarkan junjung kasih rakyat di atas pemerintahan Baginda Sultan. Ia juga mempersembahkan penyanyi-penyanyi lama yang pernah mengharumkan nama negara suatu masa dahulu dan digabungkan dengan penyanyi belia masa kini dan seterusnya melibatkan kumpulan koir dan acapella serta gabungan bagi keseluruhan peserta untuk menyanyi beramai-ramai, irama lagu berentak keislaman yang diciptakan khas.

Persembahan khas membawa tema, Raja Tersohor Kegemilangan Rakyat, yang menyeri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75.