BETAPA banyak doa yang telah kita utarakan kepada Allah Subhanahu Wata’ala pada setiap hari dan malam. Namun, sudahkah kita berdoa dengan penuh keyakinan? Doa yang digerakkan oleh sebuah kepercayaan? Pertanyaan ini harus dijawab oleh kita dengan jujur.
Kita harus meyakini Allah dengan seyakin-yakinnya tanpa batas, iaitu sebuah keyakinan yang tulus yang tidak bercampur baur dengan kepentingan-kepentingan yang lain. Dan juga percaya sepenuhnya dengan kurnia Allah terhadap kekuasaan-Nya. DialahYang Maha Kuasa dan Menguasai, Maha Agung dan Maha Perkasa. Oleh kerana itu, marilah kita belajar untuk mempercayai Allah dan berdoa kepada-Nya dengan segala keyakinan.
Menurut Amru Muhammad Hilmi Khalid, pengarang buku ‘Ghayyir Nafsaka!, Ubahlah Dirimu! yakin dan percaya kepada Allah sama sekali tidak mementingkan hasil dari usaha. Meyakini Allah kerana Dialah Yang Maha Kuasa dan Maha Perkasa. Seluruh alam semesta berada di dalam genggaman-Nya dan dengan mudah digoncangkan-Nya. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman,
“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita’. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.” (Surah Al-Ahzab, ayat-22)
Umat manusia pada umumnya sangat terkongkong dengan perubahan dan suasana kehidupan seharian. Berbeza dengan seorang mukmin, keyakinannya dengan Allah sentiasa meningkat dan terus kukuh meski harus berdepan dengan pelbagai ragam musibah dan kesusahan. Sehingga dia berkata,”Aku sambut panggilan-Mu dan sedia menerima perintah-Mu. Semua kebaikan ada di tangan-Mu dan kejahatan bukan dari-Mu.” Masihkah keyakinan kita dicampuri dengan kepentingan-kepentingan yang lain?


Ada kekeliruan dalam sistem kepercayaan kita kepada Allah. Perkara atau getaran seperti ini harus dilenyapkan. Untuk menyembuhkan penyakit umat yang kronik ini, manusia perlu menumbuhkan sikap lapang dada dalam menerima segala sesuatu secara serius dengan harapan terapi ini dapat membantu umat dalam menangani atau menghadapi pelbagai jenis masalah dan pancaroba.
Menanam kepercayaan yang kukuh kepada Allah. Mengapa kita tidak menanamkan kepercayaan terhadap Allah dalam diri kita dan anak-anak kita agar tidak mudah goyah dari sebarang masalah yang dihadapi? Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang pada ketika itu masih lagi kecil,
“Engkau harus tahu, sekiranya seluruh manusia sepakat hendak mencelakaimu, mereka tidak akan pernah dapat mencelakaimu kecuali memang telah dituliskan Allah dalam takdirmu. ” (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Perhatikanlah, bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menanamkan keyakinan terhadap Allah kepada kanak-kanak yang masih kecil bahawa Allah dapat mengubah hukum alam dengan mudah, menciptakan keselamatan dalam bahaya dan menjadikan sumber air di antara batu-batuan. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.