Keyakinan perniagaan rakyat Malaysia naik sedikit

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Keyakinan perniagaan rakyat Malaysia naik sedikit pada suku keempat 2016, tetapi kekal lemah berbanding tahun-tahun sebelumnya, lapor Kaji Selidik Keadaan Ekonomi Global (GECS) yang terbaharu.

Kaji selidik yang dibuat oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Pengurusan Akauntan (IMA) itu, mendedahkan keyakinan yang lemah itu terkait dengan faktor-faktor seperti penyusutan harga minyak dan nilai ringgit.

“Penyusutan harga minyak memberi kesan kepada keyakinan ekonomi memandangkan ia menjejaskan hasil eksport serta pendapatan kerajaan,” kata Pemangku Ketua ACCA Malaysia Vilashini Ganespathy hari ini.

Langkah kerajaan dalam memotong lagi perbelanjaan bagi mengimbangi akaun diperlihatkan dalam indeks jangkaan perbelanjaan kerajaan yang kurangmemberangsangkan untuk Malaysia.

Pemotongan perbelanjaan kerajaan juga dapat dilihat di pasaran maju, di mana kejatuhan dalam indeks perbelanjaan kerajaan sedang berada pada tahap terendah sejak awal 2016, mencerminkan bahawa pasaran maju utama masih berada dalam mod penjimatan, menurut kaji selidik itu.

Ketua Wawasan Perniagaan ACCA, Faye Chua ketika mengulas senario global ini, memberitahu ketidaktentuan politik semasa jelas mempunyai kesan ke atas keyakinan perniagaan.

“Di AS, Perkongsian Trans-Pasifik mungkin tidak diratifikasikan manakala kemungkinan sekatan perdagangan dengan pasaran utama termasuk China dan Mexico merupakan faktor utama di sini,” katanya lagi.

Katanya, walaupun dengan kebimbangan ini, ekonomi global mungkin akan memulih pada 2017 kerana program rangsangan ekonomi China mula menunjukkan kesan positif dan AS juga turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

GECS untuk suku keempat 2016 telah dibuat antara 24 Nov dan 13 Dis 2016, ia menerima 4,551 maklum balas merangkumi 214 respons dari Malaysia, bakinya daripada anggota ACCA dan IMA antarabangsa termasuk lebih daripada 350 ketua pegawai kewangan. – Bernama