Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Kezaliman undang balasan tunai

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Selaku pemimpin, mereka perlu ingat bahawa jawatan yang disandang adalah semata-mata amanah dan ia merupakan perjanjian suci dengan Allah.

    Jika amanah itu, tidak atau salah ditunaikan maka bererti kita telah melanggar perjanjian tersebut.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Persidangan Khas Menteri-menteri Kabinet yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Baginda bertitah, antara amanah bagi pemegang-pemegang jawatan adalah melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan adil, bersikap baik sangka terhadap semua anak buah serta mengelakkan amalan pilih kasih.

    “Ini termasuk tidak sekali-sekali bersikap suka mencari-cari kelemahan atau kesalahan orang-orang di bawah tangan kita, kemudian menghukumnya dengan tindakan-tindakan melulu yang menyakiti,” tegas Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengurniakan titah pada Persidangan Khas Menteri-menteri Kabinet di Istana Nurul Iman.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan dijunjung bergambar ramai bersama menteri-menteri kabinet semasa persidangan khas di Istana Nurul Iman, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada persidangan khas berkenaan. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
    ATAS & BAWAH: Menteri-menteri kabinet semasa menghadiri Persidangan Khas Menteri-menteri Kabinet yang berlangsung di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    Baginda mengingatkan bahawa (negara ada) undang-undang dan peraturan, no one above the law, yang mana jika ini berlaku, ia adalah dikesali kerana risikonya ialah kezaliman.

    “Beta sama sekali tidak menyenangi berlaku sebarang kezaliman di dalam kerajaan
    Beta, kerana kezaliman itu tidak diragukan lagi boleh mengundang balasan-balasan tunai daripada Allah SWT selain balasan yang lebih perit di akhirat kelak,” tegas Baginda.

    Menurut Baginda, jika terdapat kelemahan atau berlaku kesalahan, maka menjadi kewajipan para pemimpin untuk menolong yang lemah itu supaya dapat bangun menjadi kuat dan terhadap kesalahan pula jika masih boleh diperbetulkan maka membetulkan itu adalah lebih utama dan mendatangkan pahala daripada mengambil tindakan tergesa-gesa menimpakan hukuman.

    Brunei Darussalam adalah Negara Zikir dan etika Negara Zikir mengenai kuasa dan kepimpinan adalah berpaksikan keadilan.

    Sebagaimana maksud hadis Nabi Muhammad SAW, titah Baginda lagi, ia memberi peringatan bahawa tidak sesiapa pun yang dilantik, walau sekadar untuk memimpin 10 orang saja, melainkan didatangkan dia pada hari kiamat dengan tangannya terbelenggu hingga ke leher dan dia tidak akan dapat membebaskan diri daripada belenggu itu, kecuali dengan keadilan.

    “Apabila dia berjaya melaksanakan keadilan ke atas mereka yang 10 orang di bawah pimpinannya tadi, demikian gambaran betapa beratnya kewajipan menjadi pemimpin,” titah Baginda.

    Sekarang di Negara Brunei Darussalam, titah Baginda, kapasiti bagi tiap-tiap kementerian dan jabatan adalah melebihi jumlah 10 orang malah ada yang sampai mencecah ribuan orang bagi sebuah kementerian sahaja. Di mana semua jumlah yang ada itu perlu ditadbir dan dipimpin dengan tulus dan adil, jangan ada yang sampai teraniaya atau terzalimi.

    Baginda seterusnya menekankan, jika berlaku kepimpinan yang baik lagi adil,
    Baginda yakin itulah jaminan mutlak bagi negara ini akan memperolehi rahmat berupa keharmonian, perpaduan dan kemakmuran.

    “Beta ingin menyebut di sini, para menteri dan timbalan menteri, memang dibenarkan untuk menyembahkan nasihat kepada Beta tetapi Beta tidak mahu menerima sebarang nasihat yang tidak betul atau nasihat itu masih di tahap yang tidak jelas kebenarannya.

    “Jika nasihat itu berhubung kait dengan rancangan-rancangan kementerian atau jabatan, maka Beta mahu ia dibutirkan dengan lengkap dan sokongan alasan-alasan atau sebab-sebab yang kukuh lagi munasabah yang mana ini juga adalah sebahagian daripada tindak langkah melaksanakan keadilan,” tekan Baginda.

    Baginda turut menyentuh mengenai rancangan-rancangan kemajuan mahupun
    urusan-urusan rutin dalam kerajaan bagi rakyat dan negara, yang mana urusan itu perlu disegerakan dan tidak perlu ditangguhkan tanpa sebarang rancangan.

    “Penyelesaian yang segera tetapi sempurna itulah tanda prestasi cemerlang dan Beta mahu semua pihak hendaklah mengambil perhatian serius terhadap perkara ini.

    “Para pemimpin wajarlah bekerja lebih keras menangani tugas-tugas asasi mereka dengan mengurangkan terlibat kepada aktiviti ringan,” titah Baginda.

    Terdahulu itu, Baginda bertitah menyatakan, keadaan selalunya berubah mempengaruhi kehidupan untuk turut berubah dan ada kalanya mesti berubah. Ini juga halnya dengan struktur organisasi pentadbiran adalah tidak statik tetapi sentiasa terbuka kepada perubahan.

    Sementara perubahan itu pula, titah Baginda adalah yang dimaksudkan sebagai anjakan ke hadapan bukan berundur ke belakang dan dengan elemen-elemen keperluan menjadi punca.

    Rombakan yang berlaku adalah sebagai memenuhi tuntutan untuk berubah, titah Baginda, apa pun perubahan berlaku maka sampailah masanya untuk mereka yang terlibat sama ada yang dilantik semula atau yang baharu dilantik akan sama-sama berganding bahu, memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara.

    Di penghujung titah, Baginda turut mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri serta penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik.

    Sesungguhnya mereka yang tidak dilantik itu bukanlah disingkirkan tetapi cuma diganti sebagai tradisi yang biasa berlaku.

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...