KFA selesaikan tunggakan gaji secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi ja-minan akan melunaskan tunggakan gaji melibatkan skuad Liga Super Kedah secara berperingkat bermula dengan gaji bulan Mac yang bakal di-selesaikan sebelum 15 Ogos ini.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Mohd Nor memaklumkan pengurusan KFA akan melunaskan tunggakan gaji bagi April hingga Julai setelah proses rundingan pembayaran diselesaikan dengan pemain dan pegawai skuad Lang Merah dalam masa terdekat.

“Sebuah Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan empat bulan itu akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KFA hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata KFA turut bersetuju mengekalkan pengurusan skuad Liga Super Kedah sehingga berakhir saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini, namun jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula bagi mengurangkan bajet pasukan berkenaan pada musim hadapan.

Skuad Lang Merah ketika ini terdiri dari 48 individu melibatkan pemain dan pegawai yang disifatkan KFA mendorong kepada peningkatan bajet pasukan tersebut, katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata Jawatankuasa Khas Kewangan yang akan dibentuk itu juga berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu, dengan mengadakan rundingan segera dengan bakal penaja. Muhammad Sanusi berkata KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim ini. – Bernama