KFC sasar pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 5 Dis – QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR), operator restoran KFC menyasarkan untuk mencapai lima peratus pertumbuhan jualan pada 2019 yang akan dijana daripada kedai baharu dan perkongsian.

Pengarah Urusan Datuk Seri Mohamed Azahari Kamil berkata QSR juga menyasarkan pertumbuhan jualan yang sama bagi kedai dengan purata peratusan munasabah.

“Kami amat yakin dengan operasi KFC dan Pizza Hut. Kami percaya ada lebih banyak pelanggan yang menggemari menu kami dan hidangan baharu dan kami percaya tahun depan akan menjadi tahun yang baik bagi KFC dan Pizza Hut”.

Beliau berkata QSR merancang untuk membuka 65 restoran KFC dan 60 cawangan Pizza Hut yang baharu di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ini adalah tambahan kepada perjanjian yang telah kami meterai dan juga menerusi usaha sama dengan Petronas bagi menambah 50 lagi kedai KFC dalam tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita. – Bernama