Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kg Junjongan bakal miliki masjid baharu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Penduduk Kampung Junjongan dan sekitarnya bakal mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang boleh menampung lebih kurang 1,624 orang jemaah dan dijangka siap pembinaannya pada Mei 2023.

    Sehubungan itu, majlis mendirikan tiang masjid baharu itu telah diadakan kelmarin dihadiri oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Antara kemudahan yang disediakan di masjid ini termasuk tandas khusus untuk orang berkeperluan khas (OBK), bilik kuliah, perpustakaan dan bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta khusus untuk golongan OBK.

    Bangunan masjid baharu berkenaan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang 3 ekar dengan menggunakan peruntukan daripada Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam berjumlah $4.9 juta.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan dan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

    Majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku yang dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebelum diikuti oleh para jemputan khas yang hadir. Kemudian, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Zulkifli.

    Di penghujung majlis, tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan yang hadir berkesempatan menyaksikan video pameran mengenai ciri-ciri pembinaan bangunan masjid baharu berkenaan.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, ahli-ahli MUIB, setiausaha-setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan serta penduduk Kampung Junjongan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menuang simen pada majlis mendirikan tiang masjid baharu Kampung Junjongan.
    Yang Berhormat Menteri Pembangunan menuang simen pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...