Khai Bahar ‘dirisik’ penganjur

Reda menerima hakikat konsert solo pertama yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya (IB) di sini, dibatalkan, Khai Bahar mengaku mula ‘dirisik’ penganjur lain untuk acara sama.

Khai berkata, butiran lanjut mengenai cadangan mementaskan konsert solonya bagaimanapun masih belum dapat dikongsi.

“Memang ada yang sudah mula merisik. Bagaimanapun, setakat ini saya tidak boleh kongsi (butiran) selagi belum ada hitam putih,” katanya.

Mengenai pembatalan Konsert Khai Bahar:Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung di IB pada 27 Mac tahun lalu, Khai berkata, perbincangan teliti dengan semua pihak memutuskan acara itu dibatalkan.

Khai berkata, penganjur konsert, Fauziah Ahmad Daud berbincang dengan pihak pengurusan dan peguam sebelum membuat pengumuman itu.

Khai mengaku mula ‘dirisik’ penganjur lain bagi projek konsert solo pertama selepas rancangan di IB terpaksa dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19. – Agensi

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama kos, kapasiti premis dan risiko dalam menjayakan persembahan skala yang besar, penganjur menganggap jalan terbaik adalah membatalkan konsert di IB.

“Saya dan pasukan menerima keputusan ini dengan tenang dan menganggap belum rezeki saya untuk membuat persembahan solo di IB.

“Insya Allah masih ada peluang untuk mencuba lagi, doakan saya,” katanya.

Khai tidak kecewa biarpun persiapan sudah hampir 50 peratus siap berikutan rancangan mementaskan konsert itu dibuat sebelum Fasa Satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baru-baru ini, Fauziah atau mesra disapa Ogy mengumumkan Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia yang tertangguh sejak lebih setahun lalu, dibatalkan.

Pengumuman itu dibuat Fauziah melalui video dimuat naik di Instagram (IG).

Dalam video kira-kira tiga minit itu, Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai Ogy, memohon maaf kepada penyanyi dan peminat Khai yang sabar menantikan konsert itu.

“Saya sebagai penganjur membuat keputusan muktamad membatalkan konsert itu selepas berbincang dengan mereka yang arif.

“Kepada pembeli tiket, saya dan peguam sedang berusaha mendapatkan semula wang awda.

“Duit awda tidak bersama saya atau dalam syarikat saya. “Awda membeli melalui AirAsia RedTix, Insya Allah saya dan peguam akan usahakan,” katanya.

Fauziah meminta maaf kepada pasukan kerjanya dan Khai yang bersusah payah memastikan konsert ini direalisasikan. – Agensi