Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Khairy: Usul buka sempadan jika kadar dos penggalak lebih baik

    KUALA LUMPUR, 3 FEB – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengusulkan kepada kerajaan pembukaan semula sempadan negara dan lain-lain kelonggaran seperti tempoh kuarantin apabila kadar pemberian dos penggalak untuk dewasa dan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak mencapai tahap lebih baik.

    Menterinya Khairy Jamaluddin berkata walaupun kadar pemberian dos penggalak untuk golongan dewasa telah melepasi 50 peratus setakat hari ini, beliau masih mahu melihat angka lebih tinggi sebelum membuat cadangan pembukaan semula sempadan dan kelonggaran lain.

    “KKM sedang menjalankan perbincangan dalaman apakah nilai ambang yang kita rasa selesa daripada segi pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan dos penggalak. Kita akan membuat usul kepada mesyuarat kuartet.

    “Saya mahu lihat sedikit lagi (kadar dos penggalak). Saya merayu, kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak untuk berbuat demikian dan ibu bapa untuk daftarkan anak-anak mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

    Menurut Khairy setakat ini, 30 peratus daripada golongan warga emas belum menerima dos penggalak mereka manakala untuk kumpulan remaja dan kanak-kanak, pakar belum mengesyorkan pemberian suntikan tersebut. 

    Sementara itu, beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak panik dengan jumlah kenaikan kes COVID-19 kebelakangan ini dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat khususnya akibat penularan varian Omicron.

    “Apa yang kita perlu lihat sekarang adalah pada keseriusan kes dan bukannya pada angka kes. Jika kita lihat pada kes semata-mata sudah tentu kita akan bimbang tapi kita jangan panik.

    “KKM sentiasa memantau data-data penting ini dan apa yang kita lihat sekarang adalah lebih banyak penginapan singkat di hospital. Setakat ini kita melihat peningkatan kes tidak berkaitan dengan keseriusan kes,” katanya. 

    Khairy turut memaklumkan KKM sedang memantau perkembangan subvarian baharu Omicron seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Selasa. – Bernama

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (tiga, kanan) dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (empat, kanan) bergambar bersama Ahmad Ramdhani Jafri, 11, (duduk kiri) dan Adam Mohd Ali, 11, (duduk kanan) sebaik selesai divaksinasi pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) Lima hingga Bawah 12 Tahun di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...