Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat di sebalik keenakan buah durian

    MUSIM durian telah kembali dan setentunya kewujudan raja buah tersebut dapat banyak dilihat tidak kira sama ada di kawasan pasar, tamu dan juga turut dijual di tepi jalan raya.

    Durian ialah buah daripada beberapa spesies pokok dalam genus Durio yang merujuk kepada pokok Durian di mana ia menghasilkan buah yang memiliki aroma kuat yang boleh dimakan.

    Ia amat terkenal di Asia Tenggara sehingga diberi gelaran “raja buah”. Saiznya besar, baunya unik dan isinya juga dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri.

    Daripada duri itulah durian mendapat namanya. Buah durian boleh membesar sehingga pada ukuran 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 sentimeter (6 inci) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb).

    Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.

    Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Brunei, Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia Barat sekitar 600 tahun lalu.

    Ahli alamiah British abad ke-19, Alfred Russel Wallace, masyhur dengan mengistilah isi buah ini sebagai “kastard kaya dengan rasa badam”.

    Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak.

    Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan.

    Baunya menarik reaksi yang pelbagai iaitu ada yang menganggapnya sebagai satu nikmat mendalam malah ada juga yang mengakuinya amat jijik sehingga disamakan seperti bau badam, bawang busuk, turpentin dan stoking busuk.

    Bau ini telah menyebabkan adanya larangan untuk membawa buah ini di kebanyakan hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara.

    Terdapat lebih 30 jenis spesies Durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan.

    Ternyata buah durian itu juga turut mengandungi banyak nutrisi yang baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Ini kerana buah durian mengandungi vitamin A,C,E,B1,B2, Kalsium, Protein, Serat, Karbohidrat, Kalium, dan Fosforus.

    Mengubati insomnia

    Bagi anda yang sering mengalami masalah insomnia, ia dikatakan dapat diatasi dengan hanya memakan buah durian.

    Perkara tersebut adalah berikutan daripada kandungan buah durian itu sendiri yang mengandungi tryptophan berguna untuk menenangkan fikiran dan tubuh.

    Kandungan tryptophan dalam durian berupaya untuk menenangkan fikiran dan tubuh sekali gus mencegah masalah insomnia. – Gambar hiasan
    Vitamin B1,B2 dan kadar kalsium yang tinggi dalam durian juga berupaya untuk memperkuatkan struktur dan menjaga kesihatan gigi.

    Menguatkan tulang dan gigi

    Buah durian mengandungi vitamin B1,B2 dan kadar kalsium yang tinggi. Komponen-komponen tersebut dapat membantu untuk memperkuatkan tulang dan gigi dan setentunya dapat menjaga kesihatan tulang dan gigi anda.

    Mengawal keseimbangan gula dalam darah

    Ada juga yang berasa risau untuk memakan durian kerana rasanya yang agak manis.

    Justeru dengan menyedari tahap kemanisan yang terkandung dalam durian itu, seseorang individu yang memakannya harus mengehadkan pengambilannya.

    Memakan buah durian dalam kuantiti yang sederhana dikatakan dapat membantu dalam mengawal tahap keseimbangan gula di dalam tubuh.

    Merawat tekanan

    Secara logiknya, rasa enak dan lazat yang dapat dinikmati ketika memakan durian secara tidak langsung dapat membantu untuk merawat tahap tekanan seseorang individu.

    Namun hakikatnya durian mengandungi vitamin B-6 yang mampu untuk menghasilkan serotonin yang berguna untuk mencegah tekanan. Jadi buah durian dapat menjadi ubat tekanan secara semulajadi.

    Merawat anemia

    Kandungan folat, dan zat besi dalam durian dapat mengatasi penyakit kekurangan darah dalam tubuh (Anemia).

    Maka, bagi yang terasa diri mengalami masalah kekurangan darah atau anemia maka ambillah durian dalam kuantiti sederhana bagi mengatasi masalah tersebut.

    Mencerahkan kulit

    Kulit cerah menjadi dambaan ramai insane terutamanya para wanita. Justeru tabiat memakan buah durian juga dikatakan dapat membantu untuk mencerahkan lagi kulit seseorang individu.

    Perkara ini adalah kerana buah durian mengandungi Vitamin C yang mampu berperanan dalam mencerahkan kulit.

    Antioksidan dan Vitamin C yang terkandung di dalam durian juga dikatakan berupaya untuk melawan bakteria yang boleh menjadi penyebab tumbuhnya jerawat.

    Mencegah dan menghilangkan jerawat

    Antioksidan yang terkandung di dalam durian juga dikatakan berupaya untuk melawan bakteria yang boleh menjadi penyebab tumbuhnya jerawat.

    Memudarkan bintik hitam

    Bintik hitam pada wajah akan dapat diatasi dengan rawatan menggunakan buah durian.

    Cara penggunaan buah durian untuk dijadikan sebagai rawatan wajah adalah dengan mencampurkan isi buah durian yang kuning dan matang dengan dua sudu madu.

    Jadikan campuran tersebut sebagai masker wajah dan biarkan ia untuk seketika. Selepas itu cuci masker durian tersebut sebersihnya dan setentunya bintik hitam pada wajah akan hilang secara perlahan-lahan.

    Dari situ ternyata durian yang memiliki rasa yang cukup enak ini juga mempunyai manfaat kesihatan yang tersendiri. Bagaimanapun adalah lebih baik untuk memakannya pada kadar yang sederhana. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda