Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat di sebalik rawatan lumpur

    Pupur antara rejim yang mesti ada bagi rutin kecantikan individu. Prinsip mengenakan pupur bertujuan memisahkan udara dan pencemaran daripada kulit buat sementara waktu, justeru ia perlu diratakan ke seluruh wajah dalam tempoh tertentu.

    Kandungan air yang tinggi dalam pupur, berfungsi menembusi lapisan epidermis kulit, sekali gus membantu melembutkan tekstur dan meningkatkan tahap keanjalannya. Lantaran, ia disarankan mesti ada dalam rutin kecantikan dan wajar dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk berfungsi dengan baik.

    Meskipun, banyak yang mengatakan lumpur kotor dan menjijikkan, ternyata lumpur memiliki manfaat tersendiri bagi dunia kecantikan dan kesihatan. Justeru, tidak hairan kini banyak salun kecantikan menyediakan perawatan pupur menggunakan bahan berasaskan lumpur. Namun, bukan sebarang lumpur kecuali dari Laut Mati atau yang berasal dari gunung berapi yang kaya dengan mineral.

    Ikut lokasi

    Hakikatnya, setiap lumpur memiliki manfaat berbeza mengikut lokasi seperti dari dalam laut atau gunung berapi, boleh dimanfaatkan bagi fungsi kecantikan atau untuk unsur penyembuhan tubuh. Namun, dalam dunia kecantikan, lumpur digemari kerana sifatnya yang kering dan mengeras apabila digunakan. Selepas dipupur dan dibersihkan, kulit wajah ketara terasa segar.

    Ahli dermatologi dari Amerika, Dr Makala Anders, mengatakan, mineral yang terkandung di dalam lumpur dapat stimulasi sel kulit sehingga kulit menjadi bercahaya. Hinggakan, ada yang rela mandi dengan lumpur demi alasan kecantikan. Pupur lumpur juga dikatakan sebagai pelembap wajah semula jadi yang membuat kulit terasa lebih anjal dan sihat. Kandungan di dalam lumpur menyerap hingga ke pori-pori kulit dan membuat wajah tidak berminyak.

    Meskipun ada yang mengatakan lumpur kotor dan menjijikkan, ternyata lumpur memiliki manfaat tersendiri bagi dunia kecantikan dan kesihatan. – Agensi

    Selain itu, apabila lumpur digunakan sebagai pupur, perlahan-lahan teksturnya akan mengering sehingga mudah untuk ditanggalkan. Saat itulah lumpur akan mengelupas sel kulit mati sehingga kulit menjadi lebih cerah. Manfaat lain lumpur ialah dapat membantu mengurangi noda kemerahan pada wajah.

    Lumpur terbaik

    Dalam kebanyakan pupur lumpur, lumpur Laut Mati antara yang terbaik di dunia. Kandungan mineral yang tinggi termasuk magnesium, kalsium dan sisa organik daripada tumbuh-tumbuhan antara punca utama ia berwarna hitam pekat.

    Sungguhpun ia dikatakan agak berbau kurang enak, manfaatnya kepada peningkatan oksigen dalam sel kulit menjadikan ia antara lumpur termahal di dunia. Pupur lumpur dari Multani Mitti, India pula sering dimanfaatkan orang ramai untuk menyejukkan kulit, khususnya dalam musim panas. Sensasi sejuk itu juga menyebab ia popular sebagai bahan dalam pupur wajah.

    Lumpur jenis penyembuhan yang memiliki fungsi mengeluarkan racun dalam kulit dikatakan boleh didapati di Wilayah Moor Austria. Menariknya, lumpur di sini dikatakan tidak berbau, besar kemungkinan kerana ia terhasil daripada gambut Austria yang memiliki ekstrak pelbagai jenis tumbuhan.

    Sementara itu, lumpur dari danau Great Salt di Utah, Amerika Syarikat antara lokasi digemari untuk berendam sambil memakai pupur lumpur di dalamnya.

    Air di sini lebih likat sehingga 10 kali lebih pekat daripada air laut biasa. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda