Khatam Al-Quran maya akhiri Program Hubbul Quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Gelombang kedua penularan wabak COVID–19 yang melanda Negara Brunei Darussalam pada ketika ini tidak menghalang warga Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam (JPI) daripada meneruskan budaya membaca Al-Quran setiap hari sebelum memulakan tugas harian di bawah Program Hubbul Quran.
Sehubungan itu, majlis khatam Al-Quran sempena tamat pembacaan program berkenaan secara dalam talian telah diadakan petang kelmarin.

Program Hubbul Quran yang berobjektif untuk memupuk rasa cinta terhadap pembacaan Al-Quran dalam kalangan warga sekolah Arab telah bermula awal tahun ini dan tetap diteruskan setiap hari secara dalam talian sehinggalah tamat pembacaan dan majlis khatam Al-Quran.

Hadir selaku tetamu Kehormat pada majlis khatam berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamsol bin Haji Omar yang mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan manakala itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Terhindar Daripada COVID-19 dibacakan oleh Ketua Bahagian Sekolah Arab, JPI, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.

Majlis tersebut turut dihadiri pemangku penolong-penolong pengarah, ketua-ketua bahagian di bawah institusi pengajian serta pegawai-pegawai dan kakitangan Bahagian Sekolah
Arab.

Haji Shamsol bersama antara warga Bahagian Sekolah Arab, JPI yang menghadiri majlis khatam Al-Quran berkenaan.