Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Mantan penuntut-penuntut Pusat Tingkatan Enam (PTE) Jalan Muara 1975-1978, hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai pesambah istimewa kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis yang diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Jalan Bebatik Kilanas, Mukim Kilanas itu adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-77 tahun, sebagai menzahirkan rasa kasih sayang kehadapan majlis Baginda Sultan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, yang juga merupakan mantan penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978.
Yang Berhormat Pehin mengetuai membaca Umul Kitab, Surah Al-Fatihah beramai-ramai sebagai memulakan majlis.
Terdahulu, Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan penyerahan wakaf berupa seunit penghawa dingin sumbangan ikhlas daripada mantan penuntut-penuntut PTE Jalan Muara untuk masjid berkenaan kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Rozisham bin Haji Chuchu.
Turut hadir pada majlis itu ialah 120 jemputan terdiri daripada mantan pengetua dan tenaga tenaga pengajar PTE Jalan Muara serta lepasan penuntut tahun 1975-1978.