Khatam Al-Quran secara maya

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 20 SEPT – Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran secara dalam talian.

Majlis berkenaan merupakan salah satu program pembacaan Al-Quran yang telah dijalankan beberapa bulan lalu sebelum tercetusnya gelombang kedua penularan COVID-19 di mana AJK Takmir Masjid PAHMA mengadakan bacaan Al-Quran secara murattal di balai ibadat mahu pun masjid di kampung berkenaan.

Hadir menyertai majlis berkebajikan itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramlee bin Haji Lahit selaku penghulu Mukim Telisai dan Mukim Ukong yang sekali gus memimpin bacaan Surah Al-Fatihah semasa bermulanya majlis.

Turut menyertainya ialah Pemangku Ketua Kampung Sengkarai, Awang Abdul Aziz bin Hamdan.

Pembacaan surah-surah lazim dan diikuti dengan Doa Khatam pula diketuai oleh Timbalan Pengerusi AJK Takmir Masjid PAHMA, Haji Hamaffi bin Mohd Yassin.

Majlis turut diserikan dengan bacaan doa memohon terhindar daripada segala penyakit.

Program berkenaan bertujuan untuk menyucikan hati dengan keindahan kalam Allah sehingga menjadi amalan dalam kehidupan sehari-hari.

Di samping itu, ia juga mampu mewujudkan jalinan persaudaraan sesama Islam dalam kalangan peserta yang terlibat sekali gus membuka minda dan pengetahuan terkini mengenai penggunaan teknologi dalam talian.

Antara yang menghadiri Majlis Khatam Al-Quran menerusi platform dalam talian itu.