Khatam Al-Quran semarakkan malam terakhir Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya, Syahmi Hassan, Yusrin Junaidi & Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Umat Islam di negara ini berebut-rebut meraih ganjaran pahala pada hari-hari terakhir Ramadan dengan mengadakan majlis-majlis keagamaan terutamanya khatam Al-Quran sebelum meraikan 1 Syawal yang jatuh esok.

Kelmarin, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menutup majlis tadarus yang diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena bulan Ramadan pada tahun ini dengan majlis penutup tadarus dan khatam Al-Quran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Majlis penutup berkenaan telah dikendalikan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Omar Ali Saifuddien dan Radio Televisyen Brunei.

Sementara itu, seramai 100 jemaah termasuk Muslimah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) yang dibahagikan kepada lima Halaqah telah menyertai majlis khatam Al-Quran siri ke-2 Ramadan yang berlangsung di masjid berkenaan, kelmarin.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bersama hadirin semasa sesi bergambar ramai pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan oleh KHEU sempena Ramadan tahun ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan hadir pada majlis khatam Al-Quran siri kedua di MRSB.
Haji Ariffin semasa menyempurnakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim secara pandu lalu di Terminal Kargo Udara.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku penaung I MRSB.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penaung II MRSB.

Turut mengadakan majlis seumpamanya kelmarin adalah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHB) yang mengadakan tahun kedua sempena Ramadan.

Majlis berkenaan disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat. Turut disertai Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; Pemangku Pengarah Balai Khazanah Islam SHHB Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan Pemangku Timbalan Pengarah, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Juma’at serta ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan.

Syarikat BIACC Sdn Bhd pula telah menganjurkan majlis khatam Al-Quran tahunan ke-10 dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim, baru-baru ini.

Majlis khatam Al-Quran bagi warga kerja BIACC itu telah diadakan secara maya manakala itu, penyampaian sumbangan kepada 70 orang anak yatim telah diadakan di Terminal Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.

Turut hadir pada majlis penyampaian derma itu ialah Pengurus Besar Syarikat BIACC Sdn Bhd, Haji Ariffin bin Haji Emran.

Majlis khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim juga telah diadakan oleh ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching, kelmarin. 

Turut Hadir ialah penaung AJK takmir masjid berkenaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku jemputan khas majlis serta ahli-ahli jawatankuasa lain yang menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim bagi Kampung Sungai Hanching dan kawasan sekitarnya.

AJK Takmir Masjid RPN Kampung Pandan juga telah mengadakan majlis khatam, kelmarin, sebagai penutup majlis tadarus di bulan Ramadan yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir pada majlis tersebut ialah Penasihat AJK Takmir Masjid RPN Kampung Pandan, Dato Paduka Haji Awang Jamain bin Haji Julaihi; Ketua Kampung Pandan B, Awang Morney bin Amat; dan Ketua Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Awang Damit.

Manakala itu, hari ini, Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) mengadakan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran PEKERTI 1443H / 2022M di Surau Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Hadir ke majlis itu ialah isteri Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku yang dipertua PEKERTI.

Turut hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengerusi PEKERTI, Dayang Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari cawangan PEKERTI.