Khatam Skim Tilawah Al-Quran Remaja

Oleh Yusrin Junaidi, Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Tadarus bulan Ramadan bagi Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).

Majlis yang merupakan salah satu projek atau rancangan kerja tahunan bagi STAR berkenaan telah diadakan di keempat-empat daerah.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri MutaWakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Dakwah Tutong, Awang Alizan bin Haji Ramlee.

Di Daerah Belait, majlis diadakan di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Saadatul Bolkiah dan dihadiri oleh Ketua Unit Dakwah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu selaku tetamu kehormat majlis.

Sementara itu, bagi Daerah Temburong, majlis berlangsung di Dewan Sekolah Persediaan Arab Temburong dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Unit Dakwah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.

Majlis bertujuan untuk menyemarakkan dan mengambil tabaruk semasa bulan Ramadan dengan tadarus Al-Quran, menggalakkan pelajar-pelajar supaya sentiasa membaca Al-Quran dengan baik dan lancar seterusnya mengkhatamkan Al-Quran 30 juz setiap menjelang bulan Ramadan di samping mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan tenaga pengajar dan para pelajar. Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang mengikuti kelas STAR.

Sebahagian peserta STAR yang menyertai majlis khatam Al-Quran berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim